PARTI Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sarawak bakal terus fokus memperjuangkan idealisme hak rakyat terutamanya berkaitan isu-isu kebajikan yang masih belum mampu diselesaikan oleh kerajaan negeri itu.
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sarawak, Abang Zulkifli Abang Engkeh dipetik laporan media berkata, parti itu sentiasa memperjuangkan hak tanah adat (NCR), bekalan air dan elektrik, sistem kesihatan yang mantap, jalan raya yang selamat serta peluang pekerjaan untuk belia kepada seluruh rakyat Sarawak.
Tidak sekadar itu jelasnya, KEADILAN Sarawak turut memperjuangkan usaha penjanaan ekonomi serta pendapatan minyak dan gas di negeri ini demi pembangunan rakyat di luar bandar dan pedalaman Sarawak.
“Manifesto KEADILAN Sarawak ialah memberi penekanan yang tinggi kepada dasar polisi perhutanan dan pertanian lestari, anti rasuah dan reformasi pentadbiran.
“Malah, kita juga terus menyeru kepada Kerajaan Negeri Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Perikatan Nasional (PN) untuk menyelesaikan masalah kesinambungan digital serta isu kewarganegaraan terutamanya penduduk luar bandar yang miskin secepat mungkin,” tegas Abang Zulkifli seperti dilapor portal Malaysia dateline.
Mengulas isu pentadbiran parti itu yang diletakkan dibawah “Council Of Elders' selepas Pengerusinya Larry Sng keluar parti untuk menyokong Muhyiddin Yassin, Abang Zulkifli menjelaskan bahawa keputusan tersebut telah dibuat melalui konsensus baru-baru ini.
Jelasnya, ketika ini KEADILAN Sarawak belum memerlukan seorang pengerusi baharu kerana yang penting ialah perpaduan dan kerjasama yang baik di kalangan ahli serta pemimpin parti.
Untuk itu, ujarnya KEADILAN Sarawak akan terus mempertahankan hak rakyat melalui parti berbilang kaum dengan memperjuangkan keadilan untuk semua.
![]() |
KEADILAN Sarawak terus fokus isu rakyat |
“Sebaliknya kita mengambil iktibar untuk terus bekerja dengan lebih kuat bagi membantu rakyat dan bersiap sedia menghadapi pilihan raya nanti,” katanya dipetik.
0 Comments