PAS masih mahu tumpang kekuatan Umno?


HUBUNGAN
antara parti PAS dan Umno yang dirintis melalui pembentukan Muafakat Nasional (MN) dilihat semakin hampir ke penghujungnya.
 
Penganalisis politik, Mohd Sayuti Omar menurut laporan FMT berkata keretakan melanda dua parti berkenaan mengakibatkan jurang hubungan antara parti itu kian melebar dan mungkin “terputus pada bila-bila masa”.

“Piagam yang ditandatangani sudah dicarik,” kata pemerhati politik itu.

Kedua-dua parti itu dilihat mengeluar kenyataan mengecam satu sama lain, Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebelum ini mengumpamakan Umno seperti itik patah kaki yang mahu berenang sendiri setelah sembuh.

Manakala seorang pemimpin Umno secara sinis dalam hantaran di Facebooknya menyindir pihak tertentu dengan gelaran 'berudu' kerana dianggap cuba 'bermain banyak kolam' dalam politik.

BACA: Sindir menyindir, lepas itik berudu pula

Tanpa menamakan parti tersebut, kenyataan Ahmad Shabery Chik itu dipercayai merujuk kepada PAS dan kepimpinannya yang kini bekerjasama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu Sayuti ketika mengulas pertembungan antara PAS dan Umno berkata,  sekiranya pertelingkahan antara dua parti itu tidak diperbetulkan sebelum pilihan raya negeri (PRN) Johor nanti,negeri berkenaan akan bertukar menjadi medan tempur dengan kedua-dua parti itu sekali lagi menjadi musuh, seperti mana yang berlaku pada 1990-an.

Katanya, kegagalan mencari titik persamaan hanya akan menjadikan kedua-dua parti itu bertembung pada pilihan raya umum, terutama sekiranya Perikatan Nasional menang besar pada PRN Johor.

Andai perkara itu berlaku, beliau berkata, PAS akan menolak Umno.

Bagaimanapun, Sayuti tidak menolak kemungkinan dua parti berkenaan kembali berdamai selepas pilihan raya umum ke-15 lebih-lebih lagi jika berlaku perubahan pucuk pimpinan PAS.

“Perikatan antara Umno dan PAS ditentukan kepimpinan tertinggi PAS, bukan disebabkan faktor luaran.” jelasnya.

Dalam pada itu, Felo Kanan Kajian Strategik Akademi Nusantara Azmi Hassan, tidak berpandangan hubungan PAS-Umno sudah sampai ke penghujungnya.

Apakah PAS akan pilih Umno atau PN?
Walaupun PAS mungkin terasa dihina dan dibiarkan berada dalam kekecewaan berikutan hanya ditawarkan Umno empat kerusi sahaja menjelang PRN Johor, parti itu jelasnya berhasrat menumpang kekuatan dimiliki Umno, terutama di kubu kuat mereka seperti di Melaka dan Johor.

Justeru, kata Azmi PAS perlu memberi tawaran balas yang tidak mampu ditolak di negeri Pantai Timur, yang dikawal parti berkenaan.

“Umno sedang menunggu perkara itu (tawaran balas) dan maklum balas itu akan menentukan sama mengekal atau meruntuhkan hubungan kedua-dua parti berkenaan”. katanya dipetik laporan itu.

Post a Comment

0 Comments