Tun M kembali ke Pakatan Harapan


PERDANA Menteri Interim, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa beliau kini mempunyai angka mencukupi untuk membentuk kerajaan baru.

Bagaimanapun, pengumuman itu dibuat selepas Dr Mahathir bertemu dengan pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) pagi tadi.

Pengerusi Bersatu itu, dipercayai telah diberi kembali sokongan oleh pemimpin HARAPAN bagi memastikan kerajaan yang terbina sebelum ini dapat berfungsi semula.

"Saya yakin bahawa saya mempunyai bilangan yang diperlukan untuk mendapatkan sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

"Oleh itu, saya bersedia untuk menjadi calon perdana menteri. Keputusan ini akan disampaikan kepada Yang Di-Pertuan Agong," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan HARAPAN mengesahkan kenyataan Dr Mahathir.

HARAPAN dalam kenyataan sama menegaskan yang ia akan terus mengotakan janji dalam manifestonya pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu.

“PH berpegang teguh kepada prinsip dan akan terus memperjuangkan manifesto PH dalam kerajaan,” kata kenyataan HARAPAN yang dikongsi hampir semua pemimpin utamanya di Facebook.


Sementara itu, Mahathir dalam kenyataannya sekali lagi menegaskan tidak pernah mengisytiharkan sokongannya kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

“Seperti yang saya nyatakan berulang kali, saya menentang apa jua bentuk kerjasama dengan individu yang dikenali sebagai perasuah, dan merupakan sebahagian daripada pentadbiran kleptokrasi yang kerajaan HARAPAN telah singkirkan dengan begitu susah payahnya.

“Atas dasar prinsip, saya telah sampaikan (pendirian) ini kepada anggota Parlimen Bersatu dalam mesyuarat semalam.

“Saya tidak menandatangani apa-apa akuan bersumpah (SD) bagi menyokong mana-mana individu,” katanya.
 

Post a Comment

0 Comments