Fitnah terowong : Guan Eng menang saman


BEKAS
Menteri Kewangan Lim Guan Eng dilapor berjaya dalam saman fitnah terhadap blogger Raja Petra Raja Kamarudin.

Ia berhubung beberapa siri artikel mengenai projek terowong bawah laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Memetik laporan Bernama, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP telah memperoleh satu penghakiman ingkar terhadap pengendali portal berita secara online Malaysia Today.

Peguam Guan Eng, Kok Yuen Lin memaklumkan pemberita bahawa keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datin Rohani Ismail dalam kamar.

Menurut Yuen Lin, Rohani membuat keputusan itu selepas blogger tersebut tidak menentang saman berkenaan dan mahkamah akan menaksir jumlah ganti rugi yang akan diberikan kepada Guan Eng kemudian.

Sebagai rekod, Guan Eng memfailkan saman fitnah tersebut pada 6 September lalu  berhubung beberapa siri artikel 'Dari Fail SPRM' yang disiarkan Malaysia Today dalam versi bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia antara 24 Februari hingga 15 Mac 2019.

Artikel yang didakwa memfitnah itu berkaitan dengan siasatan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu dakwaan rasuah dalam projek infrastruktur di negeri Pulau Pinang.

Guan Eng menuntut ganti rugi teladan atas alasan Raja Petra telah mendapat keuntungan daripada jumlah pembaca yang ramai bagi kesemua artikel.

Beliau juga menuntut permohonan maaf di halaman muka depan akhbar dan satu perintah injunksi untuk menghalang blogger itu daripada mengulangi dakwaannya.

Sebelum itu, Guan Eng cuba menyerahkan writ saman dan penyataan tuntutan kepada Raja Petra melalui perkhidmatan peribadi di alamat terakhirnya yang diperoleh daripada Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya namun gagal.

Post a Comment

0 Comments