SEORANG bekas menteri menggesa agar Tenaga Nasional Berhad (TNB) membekukan kenaikan tarif elektrik kepada semua pengguna komersial dan industri.
Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata syarikat pembekal tenaga itu wajar membekukan cadangan kenaikan tarif itu untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun bagi membolehkan semua pihak terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dapat bernafas semula dalam kegawatan ekonomi disebabkan Covid-19.
Malah Ahli Parlimen Pulai itu turut menyatakan rasa bimbangnya bahawa kenaikan tarif itu yang dilapor bakal berkuatkuasa Februari secara tak langsung akan meningkatkan harga barang kepada pengguna.
“Kenaikan bil TNB kepada perniagaan akan meningkatkan harga barang atau perkhidmatan kepada pengguna.
“Mengapa tidak kerajaan (melalui) TNB berunding semula dengan syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP) dan dapatkan pengurangan 5 hingga 10 peratus dalam kadar sokongan mereka kepada TNB.
“Ini akan memberi kesan positif kepada keuntungan TNB. Malah lebih untung kepada TNB,” ciapnya di Twitter hari ini.
Terdahulu, TNB mengumumkan akan mengenakan surcaj 3.70 sen/kWj kepada semua pengguna bukan domestik seperti komersial dan industri.
Bagaimanapun, kenaikan tarif elektrik itu dikritik banyak pihak.
Persatuan PKS (SAMENTA) Datuk William Ng, berkata kenaikan tarif yang disifatkan sebagai ‘surcaj’ di bawah mekanisme Pelepasan Kos Bahan Api Tidak Seimbang dilihat sebagai kenaikan mendadak.
Katanya, lebih 1.6 juta pengguna komersial dan industri akan membayar antara 11.8 hingga 18.4 peratus untuk penggunaan elektrik, mengikut data Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Sebelumnya, kerajaan mengumumkan tiada kenaikan tarif elektrik kepada pengguna-pengguna domestik di Semenanjung melalui pelaksanaan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh 1 Februari hingga 30 Jun ini.
Salahuddin gesa tangguh naik tarif elektrik |
Bagaimanapun katanya, pengenaan surcaj 3.70 sen/kWj kepada semua pengguna bukan domestik seperti komersial dan industri.
0 Comments