KENYATAAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengenai punca kejatuhan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia pada tahun lalu dikritik.
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata kenyataan Wan Junaidi bahawa kemerosotan kedudukan CPI Malaysia adalah disebabkan pendedahan secara meluas terhadap usaha memerangi rasuah dan bilangan kes di mahkamah dianggap sebagai satu kenyataan yang cuba mengelirukan rakyat.
Tegas pemimpin DAP itu, Ahli Parlimen Parlimen Santubong itu perlu lebih teliti apabila menjelaskan mengenai kes rasuah yang meningkat di negara ini.
“Sebenarnya, jika kerajaan menyiasat lebih banyak kes rasuah, markah akan meningkat. Hanya apabila anda cuba menutup kes tersebut (indeks) akan mula jatuh,” katanya dipetik laporan portal FMT.
Awal minggu lalu, Transparency International (TI) mengeluarkan laporan tahunan CPI 2021 yang mana Malaysia turun lima tangga kepada kedudukan 62. Ia adalah tahun kedua berturut-turut kedudukan negara jatuh selepas turun enam anak tangga kepada nombor 57 dalam laporan CPI 2020.
Sementara itu Santiago mengingatkan kerajaan bahawa mereka sepatutnya meningkatkan usaha untuk menyiasat kes rasuah.
Hanya dengan langkah itu jelasnya akan akan memupuk kepercayaan dalam kalangan orang ramai dan komuniti perniagaan kepada tahap ketelusan di negara ini.
“Satu contoh kes ialah isu yang melibatkan Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya SPRM). Terdapat banyak bukti dan elemen penyalahgunaan kuasa dan rasuah, tetapi setakat ini tiada perkembangan.
“Pada masa sama, hakikatnya kita tahu bekas Perdana Menteri (Najib Razak) didapati bersalah menyalahguna kuasa, manakala pemimpin parti politik (Ahmad Zahid Hamidi), dalam kes ini, Umno, telah diperintah bela diri di mahkamah atas tuduhan sama.
“Jadi secara jelasnya apabila institusi terkemuka dan pemimpin politik terlibat dalam rasuah, ini memberi gambaran bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Ini sebabnya mengapa penarafan CPI telah turun,” katanya.
Selain Santiago, seorang lagi Ahli Parlimen turut mengkritik kenyataan Wan Junaidi.
Dr Kelvin Yiii (HARAPAN-Bandar Kuching) berkata daripada mengakui punca utama peningkatan rasuah di negara ini, Wan Junaidi enggan menerima kenyataan walaupun beliau adalah menteri yang dipertanggungjawab untuk menegakkan undang-undang.
Kenyataan Wan Junaidi turut menarik perhatian Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4).
Pengarah Eksekutifnya, Cynthia Gabriel berkata, Wan Junaidi tidak seharusnya bersikap “kurang bijak” mengenai punca sebenar penurunan dalam CPI dan ia adalah “alasan yang bodoh”.
Lebih baik baiki kelemahan dari terus menafikan |
“Isu-isu seperti kebocoran besar dalam sistem perolehan, konflik kepentingan, kurangnya undang-undang untuk menyemak perolehan kekayaan secara haram serta pembiayaan politik dalam negara juga harus diteliti,” katanya sambil menggesa pentadbiran Ismail Sabri Yaakob segera melaksanakan Pelan Antirasuah Nasional (NACP).
0 Comments