SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) digesa segera mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar membuat gesaan itu bagi mengelakkan berlaku kekeliruan kaedah berkempen pada PRN berkenaan.
Jelasnya lagi, SOP dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini tidak jelas seterusnya menimbulkan pertikaian dalam kalangan parti politik.
“Majlis Keselamatan Negara (MKN) meletakkan syarat bahawa kalau negeri fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) contohnya, penonton boleh ke stadium menonton bola sepak sehingga 20,000 orang, jadi SPR nak pakai yang mana?
"Jadi, kalau ada (perlawanan) bola sepak dalam tempoh PRN ini dari segi (menurut SOP) KKM kata tak boleh.
“Maknanya SOP sebenarnya kita masih menanti dan SPR tidak boleh ambil masa begitu lama kerana kenyataan dibuat KKM menimbulkan ketidakpuasan hati pelbagai pihak.Ini perlu diberikan," katanya dipetik laporan Awani.
Tambah Mahfuz, sekiranya SOP ditetapkan KKM diguna pakai, semua program kerajaan di Melaka mesti dibatalkan sama ada Persekutuan ataupun kerajaan negeri
"Tidak boleh ada sebarang bentuk program bersemuka,” tambahnya.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebelum ini mengumumkan larangan bagi sebarang aktiviti berkaitan pilihan raya termasuk kempen rumah ke rumah dan ceramah politik.
Susulan itu aktiviti bagi maksud keagamaan, perkahwinan, sukan, rekreasi, sosial atau kebudayaan juga tidak dibenarkan sepanjang tempoh berkenaan.
Bagaimanapun pengumuman itu dikritik, malah Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (HARAPAN, Saifuddin Nasution Ismail turut mempersoakan pengumuman Khairy Jamaluddin.
Tegasnya hal ehwal pilihan raya adalah dalam bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Tak perlu ada menteri bercakap soal larangan pilihan raya kerana kita sudah ada SPR. Ini janggal dan tidak wajar,” kata Saifuddin.
Sementara itu, Mahfuz ketika mengulas isu PRN itu menegaskan bahawa HARAPAN bersedia dengan perjalanan kempen norma baharu, namun berpendirian kempen secara konvensional tetap perlu dilaksanakan.
Bimbang timbul kekeliruan SOP |
"Jadi bagaimana SPR atau kerajaan kata tak boleh (kempen) bersemuka? Ini perlu difikirkan,” tambahnya lagi.
0 Comments