Tolak IPCC, sokong IPCMC - kumpulan hak asasi


BEBERAPA
kumpulan hak asasi manusia mahu Ahli-Ahli Parlimen menumpukan kepada usaha kepada penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), rang undang-undang yang diperkenalkan pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelum ini.


Dipetik laporan media, kumpulan itu mendesak ahli dewan menolak Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang akan dibentangkan di Parlimen, akan datang kerana dianggap akan melemahkan lagi mekanisme pengawasan sedia ada

“Rang undang-undang itu gagal menangani kebimbangan awam tentang salah laku polis, penyalahgunaan kuasa yang berterusan terhadap pengkritik kerajaan, dan kematian dalam tahanan.

“Sekiranya diluluskan, rang undang-undang itu tidak akan dilaksanakan seperti mana yang dinyatakan kerajaan, iaitu menggalakkan akauntabiliti. Sebaliknya melindungi pegawai polis daripada penelitian dan pengawasan bebas,” kata kumpulan itu dalam kenyataan yang dipetik.  

Kumpulan itu terdiri dari Amnesty International Malaysia, Artikel 19, Civicus: World Alliance for Citizen Participation, dan Human Rights Watch.
 
Jelas kumpulan itu, negara memerlukan badan pengawasan yang lebih baik memandangkan sejarah lampau berhubung kes penderaan oleh pihak berkuasa polis dan kes kematian dalam tahanan.

Mereka turut membangkitkan dakwaan rasuah, salah guna kuasa, dan kaitan dengan unsur jenayah juga merupakan salah laku polis yang telah dibangkitkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Malaysia memerlukan badan pengawasan bebas yang benar-benar bebas dan tidak berat sebelah daripada negara dan polis, untuk mengelakkan konflik kepentingan.

"Untuk menjadi ianya berkesan, badan penyelia mesti memiliki kuasa dan tanggungjawab sebenar untuk menyiasat dan mengambil tindakan konkrit terhadap pegawai polis yang bertanggungjawab atas penderaan serius," kata kumpulan itu lagi.

Mengulas lanjut mengenai RUU IPCC itu, mereka membangkitkan kebimbangan bahawa suruhanjaya itu  tidak diberikan kuasa menggeledah dan menyita semasa penyiasatan, hanya mempunyai kuasa terhad untuk memaksa dokumen, dan tiada peruntukan pendengaran.

Tambah mereka, IPCC akan memerlukan penyiasat untuk mengemukakan notis awal untuk lawatan tapak, memberikan kuasa penyiasatan terhad kepada pesuruhjaya, dan menekankan proses pelantikan tidak jelas dan tidak mempunyai kebebasan.

Ahli Parlimen digesa sokong IPCMC
Sedangkan menurut mereka, cadangan penubuhan IPCMC bukanlah sesuatu yang baharu, ia pertama kali dicadangkan pada tahun 2005 sebagai sebahagian daripada 125 syor yang dibuat oleh Suruhanjaya Di Raja Untuk Meningkatkan Operasi dan Pengurusan PDRM yang dipengerusikan Tun Mohammad Dzaiddin Abdullah.

“Namun, selepas 16 tahun Malaysia nampaknya semakin jauh daripada semangat sebenar reformasi pasukan polis itu,” kata kumpulan itu.

Post a Comment

0 Comments