TIMBALAN Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub mempersoal sumber wang hampir RM1 trilion yang telah dibawa keluar seperti didedahkan Kertas Pandora.
Dipetik wawancara khas bersama portal Malaysia Dateline, bekas menteri itu meragui bagaimana individu-individu politik yang dikaitkan dengan pendedahan itu boleh mengumpul kekayaan sebanyak itu dan menyimpannya di luar negara.
“Kalau wang sebesar ini yang melibatkan tokoh-tokoh politik dan perniagaan dalam negara kita, wang itu datang dari mana?
“Kalau di Mexico, Colombia, mudah dikatakan duit hasil penjualan dadah, pemerdagangan manusia dan pelacuran, tetapi kalau di Malaysia, duit dari mana?
“Sudah tentu, itu adalah duit rasuah, duit hasil salahguna kuasa, penyelewengan oleh pihak-pihak tertentu,” soalnya dalam wawancara itu.
International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) dalam pembongkarannya menerusi Kertas Pandora telah memetik beberapa figura penting negara berkaitan pemilikan akaun luar pesisir, sepanjang 25 tahun lalu.
Isu itu menjadi perhatian umum setelah gesaan Ketua Pembangkang, Datuk seri Anwar Ibrahim supaya ia dibahaskan di Parlimen ditolak.
Sementara itu Salahuddin ketika mengulas lanjut hal itu berkata, pembangkang berminat untuk bertanyakan hal tersebut semasa pembentangan RUU Perbekalan (Belanjawan) 2022 akan datang.
Salahuddin soal dari mana sumber wang |
“Ingat, minggu depan kami akan kembali masuk ke Parlimen dalam sesi Belanjawan 2022. Kami akan suarakan dalam sidang Parlimen akan datang,” tambah Salahuddin lagi dengan menegaskan isu tersebut akan dibangkitkan dalam sidang Dewan Rakyat bermula pada 25 Oktober ini.
0 Comments