HARAPAN bakal halang PRN melaka melalui mahkamah


PAKATAN HARAPAN (HARAPAN) negeri Melaka mahu mengambil tindakan undang-undang bagi menghalang Pilihan raya Negeri (PRN) itu diadakan.

Pengerusinya Melaka Adly Zahari berkata pihaknya akan membawa isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 4 Oktober lalu ke mahkamah pada minggu ini.

Tindakan itu bagi membolehkan semakan terhadap proses, prosedur dan fakta berkenaan pembubaran itu dapat dilakukan.

"HARAPAN Melaka akan terus menggunakan ruang perundangan bagi memberi sedikit ruang agar kerajaan yang mempunyai keabsahan majoriti boleh dibentuk dan PRN tidak perlu diadakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu menyusul pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan hari penamaan calon bagi PRN Melaka adalah 8 November dan hari mengundi pada 20 November.

HARAPAN melalui satu kenyataan Majlis Presidenya sebelum ini menolak pilihan raya diadakan pada waktu ini demi mengelak berlakunya gelombang ke-empat penularan wabak Covid-19.

Mereka turut beranggapan sebarang pengumuman darurat pula adalah tidak sesuai memandangkan ia akan menimbulkan kegusaran dalam kalangan pelabur pada ketika usaha menghidupkan semula ekonomi negara sedang diperhebat.

Justeru bagi meredakan keadaan, DUN sejak awal perlu mengadakan perbincangan terutama dengan blok yang memiliki majoriti dalam Dewan demi memastikan perlembagaan negeri "ditegakkan dan dihormati" tanpa perlu pembubaran DUN.

Kemelut pentadbiran Melaka menjadi perhatian ramai selepas dewan undangan negeri (DUN) dibubarkan.setelah empat wakil rakyat menarik balik sokongan terhadap ketua menteri Sulaiman Md Ali.

Sulaiman kemudian dipertikaikan setelah didakwa menasihati Yang di-Pertua Negeri Mohd Ali Rustam untuk membubarkan DUN, Difahamkan dia tiada kuasa untuk menasihatkan perkara itu setelah hilang kedudukan sebagai Ketua Menteri susulan telah hilang sokongan.

Dalam perkembangan berkaitan SPR menetapkan tarikh mengundi awal bagi PRN Melaka pada 18 November dengan tempoh hari berkempen adalah selama 12 hari.

Bimbang gelombang baharu Covid-19 tercetus
Terdapat kebimbangan pelaksanaan PRN Melaka akan memburukkan penularan wabak Covid-19 di negeri itu.

Pilihan raya seumpama itu di Sabah pada tahun 2020 telah mengakibatkan kebangkitan gelombang Covid-19 di negara ini.

Post a Comment

0 Comments