Negara makmur sejahtera jika pemimpin dan ulama insaf - Sultan Nazrin

 


TIMBALAN Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan supaya pemimpin termasuk golongan ulama di negara ini tidak memejamkan mata, memekakkan telinga dan membisukan lidah terhadap perbuatan rasuah

Dalam Perutusan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan yang disiarkan di saluran RTM malam tadi, baginda menegaskan bahawa amalan rasuah adalah barah amat bahaya serta terbukti menjadi punca penderitaan warga dan kemiskinan rakyat, menjadi punca kejatuhan kerajaan dan pemerintahan, keruntuhan negara dan empayar, serta keruntuhan tamadun dan budaya.

“Ketika ummah berasa gundah gelisah, pemimpin berperanan besar untuk mewujudkan dunia yang aman dan kehidupan yang sejahtera. Ummah, merindui kepemimpinan yang adil lagi saksama, kepemimpinan yang berani menegakkan kebenaran dan tegas melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

“Ummah merindui kepemimpinan yang tidak melakukan kezaliman, tidak menindas, tidak menipu dan tidak bersifat munafik.

“Ummah semakin menyuarakan kerinduan untuk dianugerahkan kepemimpinan yang tidak rasuah, tidak menyalahgunakan kuasa, tidak mengamalkan nepotisme dan tidak bersifat pecah amanah.

“Ummah amat merindui berada bawah naungan pemimpin yang mengamalkan sifat kepemimpinan Rasulullah SAW; sifat kepemimpinan yang wajib dijadikan contoh ikutan,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut memetik kata-kata Imam Syafie iaitu “Berapa ramai manusia yang masih hidup dalam kelalaian, sedangkan kain kafannya sudah ditenun” untuk diambil sebagai iktibar.

Baginda turut bertitah, kesejahteraan sesuatu bangsa dan kemakmuran sesebuah negara amat dipengaruhi oleh sifat dan akal bicara seseorang pemimpin manakala ulama besar, umara berwibawa dan peniaga yang berjaya akan lahir dalam negara yang pemimpinnya memiliki iman dan ketakwaan.

“Jika pemimpin sentiasa insaf akan tanggungjawabnya kepada ummah dan kepada negara, serta lebih insaf akan tanggungjawab lebih besar terhadap Allah SWT, akan sejahtera hidup ummah dan akan makmur negara.

“Khazanah negara akan diurus secara telus, sumber negara akan diagihkan secara saksama dan kekayaan negara tidak akan dibazirkan.

“Pemimpin tidak akan mengizinkan berlakunya himpunan kekayaan yang diperoleh secara tidak jujur dan tidak telus, apatah lagi melalui kaedah yang meminggirkan peraturan dan mempersendakan undang-undang,” titah baginda.

Tambah Sultan Nazrin dalam perutusan itu, aspek integriti dan akauntabiliti terhadap umat Islam dan ALLAH merupakan antara perkara yang disabdakan Rasulullah ketika menyampaikan khutbah terakhirnya di Arafah pada 9 Zulhijah tahun ke-10 Hijrah.

“Rasulullah tidak sekadar mengungkapkan kata tetapi kata-kata yang diungkapkan mencerminkan amalan kepimpinan yang berintegriti tinggi.

“Banyak kisah yang dapat dipetik, banyak peristiwa yang boleh dijadikan contoh akan sifat integriti tinggi Rasulullah, terutama pendirian tidak memberi keistimewaan kepada anggota keluarga atau kenalan terdekat, serta tidak terpengaruh dengan sogokan dan imbuhan,” titah baginda.

Baginda bimbang rasuah akan hancurkan negara
Sultan Nazrin turut bertitah bahawa Rasulullah juga tidak pernah menyalahgunakan status seorang rasul untuk merebut kuasa dan membina kekayaan diri serta keluarga.

“Rasulullah tegas, tidak sama sekali menggadaikan prinsip, cekal setia menjunjung amanah dan perintah Ilahi,” titah Sultan Nazrin.

Post a Comment

0 Comments