KETUA Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak semua faedah dan kemudahan bertaraf menteri termasuk gaji dan elaun bulanan.
Perkara itu dimaklumkan sendiri Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman sosial Facebooknya semalam.
dalam kenyataannya, Anwar merakamkan ucapan penghargaan terhadap Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan kerana bersetuju menambahbaik taraf parlimen dengan mengiktiraf fungsi ketua pembangkang seperti selayaknya diamalkan di mana-mana negara demokrasi.
Namun beliau tidak bersetuju dengan kemudahan penuh bertaraf menteri yang disediakan kerajaan kepadanya.
Anwar turut memperincikan kemudahan dan faedah ditawarkan kepadanya termasuk gaji dan elaun bulanan bernilai lebih RM33.560 sebulan dan elaun pakaian bernilai RM9,000 untuk tempoh tiga tahun selain kemudahan kereta rasmi kerajaan.
"Saya juga telah tegaskan kepada pihak Parlimen yang menyediakan pejabat saya untuk tidak membuat sebarang pengubahsuaian dan diberi peruntukan tambahan," katanya.
Dalam kenyataan itu juga Anwar menegaskan bahawa pengiktirafan kepada Pejabat Ketua Pembangkang tidak bermaksud beliau akan mendukung apa sahaja dasar kerajaan tanpa disoal.
Peranan semak imbang akan diperhebat |
"Saya akan tetap menjalankan tugas seperti sediakala.
"Aspek semak imbang akan terus diperhebat bagi memastikan negara ini terus di landasan demokrasi," katanya dengan menjelaskan semua gaji dan elaun tersebut akan disalurkan kepada dana tabung rakyat miskin.
0 Comments