Lelaki didakwa ahli Bersatu dituduh bunuh 'pak guard'


SEORANG lelaki yang didakwa sebagai pemimpin sayap pemuda Parti Bersatu dihadapkan ke mahkamah sekali lagi hari ini atas tuduhan membunuh.

Ahmad Noor Azhar Muhammad, 33, dihadapkan di Mahkamah Majistret di Ipoh, Perak mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas tuduhan membunuh seorang pengawal keselamatan berusia 64 tahun.

Sebelumnya. Jabatan Peguam Negara (AGC) bersetuju untuk meminda pertuduhan terhadap Ahmad Noor Azhar Muhammad, daripada Seksyen 335 Kanun Keseksaan (menyebabkan cedera parah) kepada Seksyen 302 (bunuh), selepas pengkelasan semula kes itu.

Baru-baru ini, tular satu rakaman video memaparkan seorang lelaki didakwa sebagai tertuduh menyerang Thava Sagayam yang sedang bertugas di kolam renang sebuah kondominium di Ipoh Disember tahun lepas.

Dalam rakaman itu, tertuduh dilihat bertengkar dengan mangsa sebelum mengangkat meja dan menghempap ke badan mangsa.

Mangsa yang terbaring di lantai dilihat tidak bergerak selepas insiden itu dilapor meninggal dunia pada 27 Ogos lalu.

Ia membawa kepada desakan supaya kes itu disiasat semula.

"Pada 29 Disember 2020, Thava Sagayam, 64, cedera selepas diserang oleh seorang tetamu yang tinggal di sebuah kondominium di Jalan Yang Kalsom, Ipoh. Nampaknya, tetamu itu marah kerana anaknya dilarang menggunakan kolam renang yang ditutup.

"Mendiang dimasukkan ke hospital kerana cedera yang dialami dan ditidurkan selama lebih dari tujuh bulan sehingga dia keluar hospital dan seterusnya meninggal dunia.

"Penyerang diikat jamin. Memandangkan situasi berubah iaitu melibatkan kematian, kes sebelumnya di mahkamah perlu ditarik balik dan penyerang itu perlu didakwa atas tuduhan membunuh.

"Kes ini juga mencerminkan isu moral yang lebih besar, tidak mematuhi peraturan dan prosedur yang ditetapkan dan kecenderungan untuk bertindak ganas terhadap yang lemah ketika keperluan ego tidak dipenuhi," kata Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegeran dalam kenyataan pada akhir bulan lalu.

Prosiding hari ini dijalankan dihadapan majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus yang kemudiannya menetapkan 18 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Jika didapati bersalah, Ahmad Noor Azhar akan ke tali gantung kerana dakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati.

Tertuduh berdepan hukuman mati
Warganet sebelum ini mendakwa tertuduh adalah Ketua ARMADA Bersatu Kota Bharu.

Ketua Bahagiannya,  Mohamed Farid Zawawi kemudian menafikan dakwaan itu dan mendakwa tertuduh hanyalah aktivis parti itu di Perak.

Untuk rekod, sebelum ini beberapa pemimpin pemuda Parti itu juga didakwa berdepan isu sosial.

Seorang wanita mendakwa menjadi mangsa rogol dua kenalan rapat Ketua ARMADA Gombak, Hilman Idham yang salah seorangnya adalah pemimpin bahagian parti komponen Perikatan Nasional (PN).

Sementara, Hilman pula dakwanya adalah individu yang bertanggungjawab 'merancang' insiden rogol itu.

Post a Comment

0 Comments