Pengerusi PAC cabar Mahiaddin dan Bersatu “walk the talk”


PENGERUSI Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh menggesa Ahli Parlimen menolak calon daripada kalangan “Kluster Mahkamah” bagi mengisi kekosongan jawatan timbalan speaker Dewan Rakyat.

Gesaan itu disuarakan selepas laporan media sebelum ini menyatakan pihak kerajaan mahu mencadangkan Ahmad Maslan mengisi jawatan itu bagi menggantikan Azalina Othman Said yang mengosongkan jawatan itu pada 23 Ogos lalu.

Menurutnya, tindakan mencalonkan Ahmad Maslan itu sangat mengejutkan memandangkan Ahli Parlimen Pontian itu kini masih berdepan perbicaraan di Mahkamah.

“Ini adalah mengejutkan dan membimbangkan memandangkan Ahmad Maslan sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah untuk dua pertuduhan iaitu tidak mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberikan pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya dalam kenyataan.

Merujuk kepada kenyataan Presiden bersatu sebelum ini yang berkata tidak akan bekerjasama dan menyokong golongan “Kluster Mahkamah” dalam Umno, Beliau mencabar Mahiaddin dan Ahli Parlimen Bersatu perlu “walk the talk” dan mengotakan janji itu pada pengundian pemilihan timbalan speaker Dewan Rakyat, 14 September ini.

“Demi melindungi integriti dan keutuhan institusi Parlimen negara kita, saya juga menyeru semua 220 Ahli Parlimen membuat undian pemilihan timbalan speaker Dewan Rakyat dengan undian mengikut hati nurani.

“Ini supaya ia tidak mendatangkan penghinaan dan menyebabkan institusi Parlimen menjadi suatu bahan ejekan,” katanya.

Mahiaddin dicabar supaya 'walk the talk'
Azalina ketika mengumumkan meletak jawatan Timbalan Speaker pada akhir bulan lalu berkata, tindakan dilakukannya itu bagi membolehkan kerajaan dan pembangkang “menetapkan semula” fungsi Dewan Rakyat.

Azalina menegaskan keperluan Dewan Rakyat berfungsi sebagai “forum persaingan profesional dan kerjasama antara parti mengenai polisi dan urus tadbir negara.”
 

Post a Comment

0 Comments