Rafidah kecam pemimpin membelakangkan peranan Agong


 PIHAK yang bertanggungjawab membatalkan Ordinan Darurat tanpa perkenan Istana Negara harus “berundur atau dikenakan hukuman setimpal” atas kesalahan membelakangkan peranan Yang di-Pertuan Agong.

Demikian kenyataan spontan dikeluarkan Tan Sri Rafidah Aziz menyusul perkembangan dari Istana hari ini.

“Ini adalah perbuatan mengenepikan peranan Yang di-Pertuan Agong dan tidak boleh diterima sama sekali.

“Ia adalah skandal terbaharu kerajaan pintu belakang. Saya amat dukacita dan begitu juga seluruh rakyat yang berfikiran rasional,” kata bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri paling lama berkhidmat dalam kementerian itu.

Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkenaan Parlimen dan Undang-undang, Takiyuddin Hassan di Parlimen pada Isnin, bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa 21 Julai lalu.

Istana Negara memaklumkan hal berkaitan pembatalan ordinan tersebut belum lagi diperkenan baginda.

Sementara itu Rafidah berkata, kenyataan Takiyuddin yang merupakan Setiausaha Agong PAS itu mengejutkan seluruh negara, namun negara lebih terkejut dengan pendedahan bahawa kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin cuba meminggirkan Yang di-Pertuan Agong sendiri secara terang-terangan.

“Kerajaan ini telah jelas mengenepikan dan tidak mempedulikan proses-proses demokrasi yang termaktub dalam perlembagaan negara.

“Tidak boleh ada tolak ansur dengan perkara ini, yang terlibat mesti berundur atau dikenakan hukuman setimpal,” tegas Rafidah lagi.

Untuk rekod, Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim siang tadi membacakan kenyataan oleh Istana itu di Dewan Rakyat.

Tindakan 'derhaka' tak boleh diterima sama sekali
Dalam satu sidang media di lobi Parlimen, Ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan perbuatan kerajaan Mahiaddin jelas membuktikan bahawa mereka tidak menghormati isntitusi Diraja.

Justeru beliau menggesa Mahiaddin berundur dengan segera.

Post a Comment

0 Comments