MAHIADDIN MD YASSIN digesa meletak jawatan susulan kenyataan dikeluarkan Istana Negara berhubung isu Proklamasi Darurat.
Gesaan itu dibuat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan kenyataan terbaharu daripada Istana Negara berkaitan pembatalan Ordinan Darurat yang berkuatkuasa pada 21 Julai lepas yang disiarkan hari ini.
Anwar yang memetik kenyataan tersebut berkata, kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong sepanjang tempoh darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenankan oleh baginda.
“Kabinet diketuai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melanggar semangat Perlembagaan, menghina institusi diraja terutamanya Yang di-Pertuan Agong dan ini termasuk menteri di Jabatan Perdana Menteri (Takiyuddin).
“Kenyataan itu mengelirukan dan tidak bercakap benar di dalam dewan serta mengelirukan rakyat Malaysia. Kita tiada pilihan selain menuntut Perdana Menteri meletak jawatan,” tegas Ahli Parlimen Port Dickson itu.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dengan pengumuman pembatalan darurat di Parlimen oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan
Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsudddin dalam satu kenyataan hari ini.
"Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat pada 26 Julai, 2021 lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh darurat walhal belum lagi diperkenan baginda,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, Mesyuarat Khas Parlimen Penggal Ke-14 pada Khamis kecoh susulan kenyataan tersebut.
Beberapa Ahli Parlimen melaungkan gesaan “letak jawatan” dan “derhaka” beberapa kali.
Susulan kenyataan penting itu juga, beberapa Ahli Parlimen juga menuntut agar speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun kembali ke Dewan Rakyat dan mengambil alih tempat dari Rashid.
Maszlee Malik (Simpang Renggam) sementara itu berkata, sekiranya tiada tindakan ‘gentleman’ letak jawatan daripada Muhyiddin dan Takiyuddin, perkara itu akan menjadi sejarah hitam kepada negara.
“Jika dibiarkan, tiada sikap ‘gentleman’ dari Kota Bharu (Takiyuddin) dan Pagoh (Muhyiddin) untuk letak jawatan, ia akan jadi titik hitam kepada sejarah negara,” tegas bekas Menteri Pendidikan itu.
![]() |
Anwar gesa Mahiaddin letak jawatan |
Mesyuarat yang dijadualkan berakhir jam 5.30 itu walau bagaimanapun ditangguhkan sekali lagi ke jam 5.15 petang setelah Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon memberitahu dua kes positif Covid-19 'tiba-tiba' dikesan di Parlimen.
Anwar sementara itu dilapor telah mengemukakan usul hilang kepercayaan terhadap Mahiaddin Yassin.
""Saya Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Port Dickson mengemukakan usul seperti berikut bahawa Dewan Rakyat ini mengambil ketetapan untuk menyatakan bahawa hilang kepercayaan pada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin (Pagoh) dan dimakzulkan daripada jawatan perdana menteri dengan segera menurut Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam sidang media.
0 Comments