KENYATAAN Pejabat Perdana Menteri (PMO) semalam yang mempertahan keputusan untuk tidak membatalkan ordinan darurat menerusi undian di Parlimen menggambarkan sikap 'angkuh' Mahiaddin Md Yassin dan Kabinet Perikatan Nasional (PN).
Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata begitu sebagai membalas kenyataan PMO yang mendakwa keputusan membatalkan ordinan Darurat oleh pentadbiran Muhyiddin sebagai teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang serta perlembagaan negara.
"Amanah menuntut Muhyiddin untuk bertanggungjawab terhadap tindakan penderhakaan Yang Di-Pertuan Agong dan atas segala kecurangan jemaah menteri terhadap keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan institusi Parlimen.
"Oleh itu, Amanah menuntut Muhyiddin dan seluruh anggota Kabinetnya untuk letak jawatan serta-merta dan memohon sembah ampun daripada Yang di-Pertuan Agong," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dewan Rakyat semalam digemparkan dengan kenyataan media oleh Istana Negara yang menyatakan bahawa Seri Paduka berdukacita dengan pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan di dalam Dewan Rakyat baru-baru ini.
Takiyuddin yang merupakan Setiausaha Agong PAS berkata, kerajaan telah membatalkan enam Ordinan Darurat pada 21 Julai lalu.
Keputusan kerajaan itu kemudian menjadi pertikaian di kalangan orang ramai termasuk Ahli Akademik yang mempersoalkan apakah tindakan PN itu menurut perlembagaan.
Istana melalui kenyataan juga menegaskan bahawa pengumuman tergesa-gesa dan kenyataan berkenaannya yang bercanggah di parlimen bukan saja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang, tetapi membelakangi fungsi dan kuasa baginda selaku Ketua Umum Negara.
Sementara itu, Mohamad Sabu mengecam kenyataan PMO itu yang menurutnya seolah-olah mahu mengambarkan bahawa Seri Paduka tersilap dalam isu tersebut.
"Muhyiddin dan kabinetnya cuba menegakkan benang yang basah dengan mendakwa mereka menjalankan tugas dengan teratur dalam soal pembatalan Ordinan Darurat yang menjadi pertikaian sekarang.
"Kenyataan (PMO) membayangkan bahawa Yang Di-Pertuan Agong tidak memahami keadaan sebenarnya dan tersilap apabila menyatakan baginda amat dukacita dengan tindakan jemaah menteri.
"Ia seterusnya cuba menyalahkan pembangkang pula seolah-olah kami semua menimbulkan kekeliruan dalam persoalan ini," katanya lagi.
Dalam pada itu, ahli jawatankuasa Biro Undang-undang Amanah Wan Anwar Wan Ibrahim menyangkal kenyataan PMO semalam bahawa Yang di-Pertuan Agong perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat jemaah menteri.
![]() |
Jangan cuba beri gambaran Agong silap |
"Saya ingin menegaskan bahawa di bawah prinsip Perlembagaan, Agong hanya akan mengikut nasihat jemaah menteri hanya apabila nasihat yang diberikan itu adalah selari dengan kehendak Perlembagaan," katanya dalam kenyataan.
0 Comments