GABUNGAN parti dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) dilihat lebih layak mencalonkan Perdana Menteri baharu menggantikan Mahiaddin Md Yassin.
Pandangan itu dinyatakan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming susulan situasi terkini yang menyaksikan desakan supaya Mahiaddin dan kerajaan dipimpinnya turun dari tampuk kuasa menjadi semakin kuat terutama setelah Perikatan Nasional (PN) didakwa cuba membelakangkan peranan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.
Ia berkaitan keputusan kerajaan mengumumkan pembatalan Ordinan Darurat yang kemudian ditegaskan istana sebagai 'mendukacitakan' Agong kerana dibuat secara tergesa-gesa dan tidak menurut titah dizahirkan Baginda sebelum ini.
Menurut Kor Ming lagi, gabungan parti dalam HARAPAN merupakan blok terbesar di Parlimen dengan jumlah 89 ahli Parlimen berbanding gabungan lain.
Bagaimanapun bekas Timbalan Speaker Dewan rakyat itu menegaskan bahawa perkara itu masih perlu mengikut Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri baharu selepas diyakini mempunyai kepercayaan majoriti di Dewan Rakyat.
"Maka saya serah kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dan antaranya kini jelas blok yang paling besar adalah HARAPAN dengan 89 orang ahli Parlimen.
"Jika tiada seorang pun calon mempunyai majoriti jelas, maka blok yang terbesar wajar diberikan peluang dan dipertimbangkan untuk menjadi Perdana Menteri yang baharu," katanya dipetik satu laporan media hari ini.
Semalam, bekas menteri, Tan Sri Rafidah Aziz menggesa supaya pihak yang bertanggungjawab membatalkan Ordinan Darurat tanpa perkenan Istana Negara harus “berundur atau dikenakan hukuman setimpal” atas kesalahan membelakangkan peranan Yang di-Pertuan Agong.
Walaupun dikritik, Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan kemudian mendakwa kerajaan telah melaksana pembatalan itu secara teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang serta perlembagaan negara.
![]() |
HARAPAN miliki jumlah kerusi terbanyak |
Sementara itu, Kor Ming menggesa Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun menepati peraturan mesyuarat sidang Dewan Rakyat pada Isnin depan dengan menerima usul Undi Tidak Percaya terhadap Muhyiddin yang dikemukakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata, usul tersebut wajar dibahas dan diputuskan sama ada Muhyiddin masih mempunyai majoriti di Dewan Rakyat atau sebaliknya.
"(Usul) Ini tidak boleh dilewatkan lagi, mesti diputuskan supaya rakyat jelas untuk mengakhiri kemelut politik dan kestabilan negara.
"Disebabkan ketidakstabilan politik negara, ekonomi merudum, pasaran saham jatuh, ringgit jatuh, rakyat merana, cukuplah dan sudah-sudahlah," katanya dipetik.
0 Comments