PENGUMUMAN pembatalan Ordinan Darurat dibuat Setiausaha Agong PAS, Takiyuddin Hassan di parlimen baru-baru ini telah mendukacitakan yang di-Pertuan Agong.
Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsudddin pada kenyataan hari ini.
"Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat pada 26 Julai, 2021 lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh darurat walhal belum lagi diperkenan baginda.
"Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenankan dan dipersetujui tedahulu dengan Takiyuddin Hassan selalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) dan Idrus Harun, peguam negara semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai 2021 bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di parlimen bagi tujuan dirungkaikan telah tidak dilaksanakan.
"Seri Paduka Baginda menegaskan kenyataan menteri di Parlimen pada 26 Julai 2021 adalah tidak tepat dan telah mengelirukan ahli-ahli Dewan Rakyat," kata kenyataan itu.
![]() |
Al-Sultan Abdullah zahir rasa dukacita |
Kenyataan bercanggah dan serta mengelirukan di parlimen itu titah baginda bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurut kenyataan Istana Negara itu lagi, Seri Paduka Baginda sedia maklum mengenai keperluan Agong bertindak mengikut nasihat jemaah menteri seperti terkandung dalam Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.
"Namun, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa Baginda selaku Ketua Utama Negara, mempunyai kewajipan untuk menyampaikan nasihat dan teguran jika berlaku sebarang tindakan yang tidak berperlembagaan oleh mana-mana pihak, khususnya mereka yang melaksanakan fungsi dan kuasa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong," kata Ahmad Fadhil.
Pengumuman Takiyuddin yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) pada 26 Julai lalu bahawa ordinan darurat telah dibatalkan mengejutkan Dewan Rakyat terutama di kalangan Ahli Parlimen Pembangkang.
Ramai pihak sebelum ini berpendapat pembatalan tersebut dibuat secara tidak berperlembagaan kerana ia hanya boleh dilakukan di Parlimen.
Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi Dewan rakyat awal minggu ini berkata, beliau mempertikai cara Takiyuddin menjawab isu pembatalan ordinan darurat di Dewan Rakyat.
Anwar berkata, tindakan Ahli Parlimen Kota Baharu itu kelihatan cuba mengelak daripada menjawab pertanyaan ahli parlimen pembangkang dengan berselindung di sebalik Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun meyakinkan beliau bahawa langkah tersebut belum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
"Kalau tengok cara menteri jawab, saya pasti 100 peratus belum ada perkenan Agong (untuk pembatalan ordinan darurat), dan kalau itu tidak (berlaku), apa maknanya?.
"Perkara spesifik begini tidak boleh jawab, kalau Yang di-Pertuan Agong perkenan saya percaya semalam lagi dia (Takiyuddin) jawab," kata Anwar.
0 Comments