K'jaan PN bakal berdepan isu kredibiliti, kata penganalisis

 


KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) dikepalai Mahiaddin Md Yassin bakal berdepan isu kredibiliti dan keabsahan, menurut penganalisis.

Pandangan itu dinyatakan Dr Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura dan Prof Dr Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya (UM) susulan keengganan pihak kerajaan mendedahkan sama ada Yang di-Pertuan Agong sudah memberi perkenan membabitkan pembatalan Ordinan Darurat.
 
Ei Sun dipetik laporan media oleh FMT berkata, keengganan kerajaan “memberi jawapan terhadap soalan mudah” yang dikemukakan Ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat berhubung pembatalan Ordinan Darurat tersebut menyebabkan “lebih banyak soalan berbangkit”.

Persoalan terbabit tegasnya adalah penting kerana pembatalan hanya boleh dibuat dengan perkenan Agong lebih-lebih lagi Ordinan Darurat diisytiharkan atas nama baginda.

Tindakan membatalkan Ordinan Darurat sebelum persidangan Dewan Rakyat memberi isyarat bahawa kerajaan tidak mahu ordinan itu diundi dan berkemungkinan disebabkan oleh persoalan yang membelenggu Perikatan Nasional (PN) berhubung sokongan majoritinya.

“Sekiranya kerajaan tidak mempunyai majoriti, ia mengesahkan kecurigaan bahawa kerajaan sedia ada adalah kerajaan minoriti dan kredibiliti serta keabsahan untuk memerintah pastinya terjejas teruk,” katanya.

Isnin lalu, Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa kerajaan pada 21 Julai lalu, membatalkan semua Ordinan Darurat mengikut Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

Tindakan k'jaan timbulkan tanda tanya
Beberapa Ahli Parlimen mempersoalkan sama ada Yang di-Pertuan Agong sudah memberi perkenan. Persoalan berkenaan kekal tidak dijawab.

Sementara itu Awang Azman pula berkata, kini timbul spekulasi bahawa Agong belum memberi perkenan berhubung pembatalan itu.

Tambahnya, Ordinan Darurat sepatutnya diperdebatkan dan ditarik balik hanya selepas di undi di Parlimen.

“Kegagalan mendapatkan sokongan menarik semula Ordinan Darurat di Dewan Rakyat mendedahkan bahawa kerajaan tidak mendapat sokongan majoriti,” katanya.
Awang Azman Pawi.

Beliau berkata, kegagalan mendedahkan sama ada Agong memainkan peranan dalam pembatalan memberi tamparan terhadap kredibiliti kerajaan.

“Ini akan dilihat sebagai percubaan untuk mengelirukan Ahli Parlimen dan menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu, terutama jika Agong belum memberi perkenan ketika pengumuman dibuat.

“Imej kerajaan sudah tercalar. Biarpun kerajaan menunjukkan Yang di-Pertuan Agong sudah memberi perkenan, tanggapan bahawa pengumuman pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan Agong akan kekal,” katanya dipetik.

Post a Comment

0 Comments