Tiada kemas kini: Prabakaran persoal status 'hotspot' di bangunan Parlimen

AHLI DEWAN RAKYAT mewakili kawasan Parlimen Batu, P Prabakaran mempersoalkan tiada kemas kini kawasan “hotspot” di Parlimen walaupun Speake Azhar Azizan Harun memaklumkan terdapat 12 staf di Parlimen dijangkiti Covid-19.

Dipetik laporan media, Prabakaran yang juga adalah Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Wilayah Persekutuan mempersoal adakah perkara itu juga satu bentuk kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya nak bangkitkan berkaitan aplikasi MySejahtera. Sebab Isnin lalu, Speaker beritahu Parlimen ada 12 kes staf Parlimen kena Covid-19.

“Dalam aplikasi MySejahtera, kalau tengok ‘hotspot location’ Parlimen hanya ada 6 kes.

“Adakah ini satu kegagalan kerajaan apabila tiada kemaskini aplikasi ini,” soalnya di Dewan Rakyat hari ini.

Isnin lalu, Azhar mengesahkan dua Ahli Parlimen positif Covid-19 sekali gus tidak dapat menyertai Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 yang berlangsung.

Susulan itu, enam lagi Ahli Parlimen terpaksa menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat dua Ahli Parlimen terbabit.

Hasil ujian saringan Covid-19 diadakan Jumaat lalu juga mendapati seramai 13 orang kakitangan Parlimen didapati positif, berikutan itu seramai 58 kakitangan Parlimen turut menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat kepada mereka yang positif.

Prabakaran soal status hotspot di Parlimen
Azhar kemudian memaklumkan empat lagi kes positif Covid-19 dikesan di kawasan Parlimen.

Beliau membuat penjelasan itu ketika mengulas desakan wakil pembangkang supaya waktu sidang Parlimen dilanjutkan selepas 5.30 petang seperti ditetapkan ketika ini bagi membolehkan lebih ramai wakil rakyat berucap.

Post a Comment

0 Comments