PN disifatkan gagal setelah tak mampu selesai isu kabotaj



KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) dikepalai Muhyiddin Yassin disifatkan sebagai gagal apabila tidak mampu menukar semula dasar kabotaj negara dalam tempoh dua minggu.

Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan berkata, dasar itu perlu ditukar demi untuk menyelamatkan masa depan digital dan pelaburan berteknologi tinggi negara  yang dianggarkan bernilai RM12 bilion hingga RM15 bilion.

"Kerajaan PN telah gagal dalam ujian untuk mengutamakan masa depan digital Malaysia dengan memberi keutamaan kepada masa depan politik mereka sendiri, semata-mata bagi menjaga air muka Wee demi memastikan sokongan dua Ahli Parlimen MCA Wee kepada PN.

"Pelaburan digital Malaysia bernilai RM12-15 bilion tidak sepenting dua-dua Ahli Parlimen MCA, kritikal bagi kerajaan PN yang tidak mampu kehilangan mana-mana Ahli Parlimen selepas kehilangan majoriti Parlimen," katanya dalam kenyataan itu.

Setaiausaha Agung DAP itu turut menempelak Ka Siong yang didakwa enggan meneruskan dasar kabotaj Pakatan Harapan (HARAPAN).

Keengganan itu kata beliau telah  menyebabkan Facebook dan Google mengetepikan Malaysia susulan kebimbangan mereka mengenai kelewatan sehingga 27 hari untuk pembaikan kabel bawah laut tidak diendahkan.
BACA:
Dasar 'selektif' k'jaan PN rugikan negara
BACA: Guan Eng bidas alasan presiden MCA
BACA: 4 syarikat IT dunia gesa PN kembalikan dasar K'jaan HARAPAN

Guan Eng turut memetik kenyataan  Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff secara terbuka menyalahkan Ka Siong yang membatalkan pengecualian kabotaj sehingga dua syarikat IT gergasi itu mengetepikan Malaysia dengan memilih Singapura dan Indonesia sebagai tapak bagi pelaburaan berteknologi tinggi.

"Rais menambah bahawa turut disemak semula adalah pelaburan berpotensi pusat data bernilai RM12-15 bilion pelaburan asing," katanya lagi.

Guan Eng berkata dalam mesyuarat Kabinet pada 14 April, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberikan tempoh dua minggu kepada enam Kementerian yang berbeza untuk mengkaji semula kesan dasar kabotaj negara ini terhadap industri digital dan perkapalan.

"Sekarang tempoh dua minggu sudah tamat, namun masih tiada sebarang berita tentang masa depan digital negara. Tiada sebarang tindakan terhadap hasil kajian semula ini adalah perkara biasa bagi sebuah kerajaan yang gagal," katanya sambil mendakwa kerajaan PN tidak mengutamakan masa depan digital negara demi memastikan dua Ahli Parlimen MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Datuk Seri Wee Jeck Seng terus memberikan sokongan.

Kerajaan Muhyiddin sebelum ini didesak mengembalikan pengecualian kabotaj yang meluluskan operasi kapal asing terlibat pembaikan kabel dasar laut seperti diamalkan kerajaan HARAPAN.

Pada November tahun lalu, tiga syarikat telekomunikasi dunia- Microsoft, Google dan Facebook- telah bersama-sama menulis surat kepada Muhyiddin berhubung hal yang sama.

Malaysia tersisih dari projek Echo dan Bifrost
Mereka memberi amaran, bahawa dasar itu hanya akan mewujudkan situasi di mana hanya satu syarikat Malaysia bakal memonopoli projek pembaikan kabel bawah laut.

Malaysia baru-baru ini tersisih dari projek pembangunan rangkaian komunikasi kabel dasar laut dikenali sebagai Echo dan Bifrost yang dibangunkan Facebook dan Google di rantau ini dipercayai kerana dasar kabotaj yang diamalkan kerajaan.



Post a Comment

0 Comments