AMK bimbang telunjuk 'menteri' akan robek pentadbiran negara


KETUA Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir menyifatkan pendedahan dibuat bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Abdul Hamid Bador berkait campur tangan politik dalam agensi itu merupakan satu tamparan hebat yang merobek sistem pentadbiran negara.

Dalam satu kenyataan di laman Facebooknya, Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, campur tangan bagi memenuhi serta melindungi kehendak politik sesetengah pihak itu boleh dianggap satu penghinaan terhadap anggota polis.

Justeru katanya, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang diletakkan di bawah Parlimen perlu segera diwujudkan bagi menyiasat apa yang dianggapnya sebagai skandal besar yang mencemarkan nama baik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan negara.

"Negara  dikejutkan dengan pengakuan terbuka Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin  bahawa beliau merupakan individu dalam audio yang tular berhubung dakwaan campur tangan dalam pelantikan polis. 

"Audio itu perlu diberi perhatian serius apabila pelantikan pegawai tinggi polis tidak lagi berpandukan merit yang sepatutnya tetapi lebih kepada memilih 'kroni' menteri," katanya Akmal yang menegaskan bahawa campur tangan yang didakwa dilakukan Hamzah adalah suatu penyalahgunaan kuasa serta kedudukannya sebagai menteri dan Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

Jelasnya, walaupun Hamzah merupakan Pengerusi SPP namun beliau tiada kuasa mutlak dalam membuat keputusan dan masih mempunyai limitasi yang perlu dipatuhi.

AMK bimbang nasib masa depan negara


"Semua keputusan tersebut perlu melalui proses saringan berdasarkan kriteria dipersetujui oleh SPP.

"Bagaimanapun pendedahan dan pengakuan Menteri KDN telah mencemarkan nama baik SPP dan memberikan isyarat bahawa suruhanjaya itu tidak bebas dan bertindak hanya dengan telunjuk menteri," jelas Akmal.

Beliau turut mempersoalkan mengapa Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri tidak bertindak walaupun Abdul Hamid mendedahkan aduan mengenai campur tangan itu telah disampaikan sendiri kepada Ahli Parlimen Pagoh itu.

Post a Comment

0 Comments