Projek mega kabel dasar laut: Guan Eng bidas alasan presiden MCA


BEKAS menteri kewangan Lim Guan Eng mempertikaikan alasan kerajaan berhubung keputusan syarikat gergasi Facebook dan Google yang tidak melibatkan Malaysia dalam projek kabel internet bawah laut  menghubungkan Singapura dan Indonesia ke Amerika Utara.

Dalam satu kenyataan, Guan Eng berkata Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong memberi alasan syarikat gergasi teknologi itu memilih Singapura daripada Malaysia adalah kerana Facebook sudah membina pusat data di sana sementara Malaysia kekurangan infrastruktur data.

Bagaimanapun tegasnya, Presiden MCA itu tidak tidak menjelaskan mengapa syarikat gergasi teknologi itu bersedia menghubungkan kabel bawah laut ke Indonesia.

"Ka Siong tidak jujur ketika dia mengatakan alasan Singapura dipilih oleh syarikat gergasi berteknologi tinggi ini kerana Facebook telah membina pusat data di Tanjung Kling Data Centre Park di negara itu.

"Sekiranya demikian, mengapa Indonesia juga dipilih dan bukan Malaysia?" soalnya.

Semalam, Ka Siong menegaskan bahawa keputusan Perikatan Nasional (PN) untuk mengembalikan dasar kabotaj bukan sebab utama mengakibatkan Facebook dan Google tidak melibatkan Malaysia dalam projek mega kabel bawah laut itu.

Difahamkan, Facebook, Google, Microsoft dan MyIX tahun lalu meminta PN untuk mengembalikan pengecualian itu dengan menekankan bahawa mereka perlu memastikan kerja pembaikan kabel bawah laut dilakukan dengan cepat dan memastikan waktu henti internet minimum.

Mereka turut bimbang keputusan bahawa hanya satu syarikat tempatan yang mampu melakukan pembaikan bagi kabel bawah laut itu dan dasar kabotaj yang diamalkan akan menyebabkan monopoli.

Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelumnya bersikap lebih terbuka dengan memberi pengecualian dasar kabotaj terhadap kapal asing yang melakukan kerja pembaikan kabel bawah laut.

Sementara itu, Guan Eng membidas kenyataan Ka Siong yang cuba menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) berhubung perkara itu.

"Ka  Siong kemudian menyalahkan kerajaan HARAPAN atas kekurangan infrastruktur data kerana antara 2018 dan 2019, Malaysia membuang masa dan wang untuk idea-idea ketinggalan zaman seperti membangunkan kereta terbang dan bukannya pusat data dan revolusi industri 4.0.

"Wee sebenarnya mengkritik rakan Menterinya sendiri, Mohd Redzuan Md Yusof, yang memulakan idea-idea mengenai kereta terbang dan masih meneruskan projek kesayangannya itu. Apa yang berlaku dengan kesatuan dan tanggungjawab bersama kabinet menteri PN?" katanya.

Lim berkata Wee tidak boleh melepaskan tanggungjawab dan menyalahkan pihak lain berhubung perkara itu.

Isu mengenai Malaysia yang tidak dilibatkan dalam projek mega kabel dasar laut oleh syarikat gergasi itu sebelum ini dibangkitkan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 
BACA:
Dasar 'selektif' k'jaan PN rugikan negara 

Ketua Pembangkang itu berkata, kegagalan itu berpunca dari “Kebijaksanaan kerajaan dan ‘strategi’ (untuk menarik pelaburan asing secara selektif) yang akhirnya menyebabkan syarikat gergasi digital tersebut mengelak dan menyisihkan Malaysia.

 Jangan alih kelemahan pada Pakatan Harapan
Pembangunan projek rangkaian komunikasi dikenali sebagai Echo dan Bifrost itu bertujuan meningkatkan keupayaan capaian internet antara Singapura, Indonesia dan benua Amerika Utara.  

Anwar menegaskan bahawa ketidakterlibatan Malaysia dalam projek itu adalah kehilangan besar pada negara dan juga memberi kesan pada keupayaan kita dalam mendukung pendigitalan pesat ekonomi kita.