Bersyukur gaji rendah : Kenyataan Menteri dikritik


MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed dikritik susulan kenyataannya yang meminta graduan bersyukur jika mereka mendapat pekerjaan walaupun dengan gaji rendah.

Presiden Belia Harmoni Malaysia (Harmoni Malaysia) Huzayl Mohammad Noor Sia menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Jeli yang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu seakan memperlekeh  golongan graduan.

Meskipun akur dengan keadaan ekonomi yang merundum, Huzayl menegaskan, Mustafa seharusnya berusaha membaik pulih ekonomi supaya gaji graduan khususnya dapat ditingkatkan.

“Kita akui dan faham keadaan ekonomi yang meruncing, tetapi sebagai seorang menteri, seharusnya dia datangkan usaha usaha baik pulih ekonomi negara dengan semaksima mungkin.

“Bukan meminta graduan reda dan terima sahaja keadaan yang menghimpit ini,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.

Pandangan Huzayl turut disokong Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Ahmad Farhan Rosli.

“Kerajaan wajar lebih rasional dan sensitif. Dalam keadaan gaji para menteri tinggi, sangat tidak wajar meremehkan para graduan. Maka ini adalah waktu terbaik untuk kaji ketetapan gaji graduan,” jelasnya.

Justeru beliau menggesa agar kerajaan mula mengkaji gaji minima buat graduan.

Isu berkenaan gaji golongan itu turut menarik perhatian bekas Menteri Sumber Manusia era Pakatan Harapan (HARAPAN).

M Kulasegaran berkata, adalah tidak wajar untuk kerajaan menggalakkan graduan melakukan pekerjaan separa mahir dan tidak mahir dengan bergaji rendah kerana ia boleh memberi kesan jangka panjang.

Jika keadaan itu dibiarkan, negara jelasnya bakal menyaksikan kesan pada kadar pengangguran dan kehilangan produktiviti.

"Dengan membayar dengan gaji rendah yang sama dengan gaji minimum kepada golongan muda, kita tidak menggunakan sebaiknya potensi mereka, itu satu dasar harus digubal untuk mengatasi masalah ini.

Kenyataan Mustapa dianggap memperlekeh
"Pengangguran boleh menjadi ancaman sebenar ekonomi dalam jangka masa panjang," katanya sambil menyifatkan kenyataan Mustapa sebagai tidak bertanggungjawab.

"Menjadi tugas dia untuk memastikan yang graduan tidak mendapat gaji rendah," tambah Ahli Parlimen Ipoh Barat itu lagi.


Post a Comment

0 Comments