Anwar bimbang rakyat dibelit hutang berpanjangan


KETUA Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kebimbangan susulan kenaikan mencanak hutang isi rumah.

Melalui satu kenyataan, Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu berkata, kenaikan sehingga 93.3% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada akhir tahun 2020 berbanding 87.5% yang ditetapkan pada Jun tahun lalu adalah keterlaluan dan cukup membimbangkan.

Sebahagian besar hutang itu katanya adalah pinjaman perumahan dan kenderaan dan ia adalah kesan langsung daripada pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula 18 Mac tahun lalu.

“Hutang kad kredit juga mencanak naik dan berada di tahap yang merungsingkan.

“Rakyat tidak ada banyak pilihan dalam mendepani masalah ini, dan situasi ini akan mengheret mereka untuk membuat pinjaman baharu, lantas meletakkan mereka dalam beban hutang yang berpanjangan,” jelas bekas Menteri Kewangan pada era 90-an itu.

Beliau sebelumnya merujuk kenyataan Gabenor Bank Negara Nor Shamsiah Mohd Yunus menerusi Laporan Tahunan BNM 2020 yang berkata, hutang isu rumah daripada KDNK berada pada tahap 93.3% dan ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 6.0% hingga 7.5% pada 2021.

Sementara itu Anwar berkata, masalah hutang berkenaan jika tidak ditangani dengan baik akan melambatkan fasa pemulihan ekonomi untuk beberapa tahun akan datang.
Berhubung keadaan semasa

Keadaan itu jelasnya akan membuatkan rakyat membuat pinjaman baharu, lantas meletakkan mereka dalam beban hutang yang berpanjangan.

 Strategi ringankan beban rakyat mesti dirangka
“Perdana Menteri (Muhyiddin Yassin) mesti segera mengarahkan pasukan ekonominya untuk fikirkan strategi baharu dalam meringankan beban rakyat saat ini, melebihi kepentingan kroni dan para cukong.

“Secara tradisinya, dalam sistem demokrasi kita, pemimpin yang tidak ada keyakinan dan mandat dari rakyat akan segera meletakkan jawatan dari terus memalukan diri sendiri,” katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments