AMK Kampar buat laporan polis terhadap Menteri Dalam negeri


ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) Cabang Kampar, Perak telah membuat satu laporan polis terhadap Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin.

Dipetik laporan Sinar, laporan yang difailkan itu berkaitan dakwaan penyalahgunaan kuasa dan campur tangan Setiausaha Agung parti Bersatu itu dalam pelantikan serta penempatan pegawai-pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Ketua AMK Cabang Kampar, Mohammed Hafiz Mohd Shariff berkata, campur tangan tersebut yang telah didedahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador adalah sesuatu yang perlu dipandang serius apatah Hamzah telah mengesahkan bahawa rakaman suara yang tular di media sosial berkaitan dengan beliau adalah benar.

Tindakan Hamzah itu juga tegasnya dikhuatiri menjejaskan dan mencalarkan imej PDRM secara keseluruhan.

"Saya membuat laporan polis ini bagi menggesa polis melakukan siasatan atas perkara ini serta mengambil tindakan sewajarnya ke atas menteri tersebut.

"Pengakuannya yang secara jelas merupakan satu penyalahgunaan kuasa dan campur tangan yang serius terhadap urusan dalaman polis," katanya di IPD Kampar hari ini.

Sementara itu tambah Mohammed Hafiz, laporan difailkan mereka juga urut menyentuh mengenai pertukaran jawatan Ketua Polis Negara ketika negara diisytihar berada dalam tempoh darurat.

Mahu penyalahgunaan kuasa menteri disiasat
Katanya, dalam peruntukan Seksyen 15 Akta Polis 1967 secara jelas dinyatakan bahawa ketika darurat, pertukaran Ketua Polis Negara dan pegawai polis lain adalah tidak dibenarkan.

"Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, kita mahu siasatan telus dijalankan berhubung perkara ini," katanya dipetik.

Post a Comment

0 Comments