ADUN gesa polis siasat menteri KDN


SEORANG wakil rakyat menggesa supaya Setiausaha Agung Parti Bersatu Pribumi (BERSATU), Hamzah Zainuddin disiasat berhubung dakwaan campur tangan dalam pelantikan ketua polis negara (IGP) yang baru.

Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, pengumuman pelantikan ketua polis yang baru oleh Menteri Dalam Negeri itu semalam dipersoal kerana pelantikan semasa tempoh darurat juga adalah tidak dibenarkan mengikut Akta Polis 1967.

Malah rakaman suara tular yang diakui oleh Hamzah semalam mendedahkan usaha terancang oleh menteri berkenaan untuk menyusun pelantikan dan penempatan pegawai-pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga tegasnya satu bentuk penyalahgunaan kuasa.

"Ini jelas satu penyalahgunaan kuasa dan campur tangan yang dilakukan oleh seorang menteri yang disyaki dengan tujuan yang tidak baik, bias dan menjejaskan serta mencalarkan imej PDRM secara keseluruhan," katanya dipetik laporan polis difailkan ADUN Meru itu malam tadi. 


Semalam, Hamzah menyerahkan surat pelantikan sebagai IGP kepada timbalan ketua polis negara, Acryl Sani Abdullah Sani. Acryl akan menggantikan Abdul Hamid Bador.

Sebelum ini tular rakaman klip audio perbualan telefon mendakwa Hamzah akan mengesyorkan kepada Agong agar melantik "budak Ipoh" yang merupakan "budak kita" sebagai ketua polis negara yang baru.

Abdul Hamid semalam secara terbuka mendedahkan tidak mempunyai hubungan baik dengan Hamzah dan mendakwa menteri itu terlalu banyak mencampuri urusan polis dengan politik.

Abdul Hamid turut mengkritik kelemahan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP)    yang dipengerusikan Hamzah yang menurutnya seolah-olah melepaskan 'batuk ditangga' dan bermesyuarat seolah-olah 'minum kopi' dengan terlalu banyak kes yang perlu diselesaikan SPP masih tidak selesai.

Fakhrulrazi gesa Hamzah disiasat
Sementara itu, laporan polis Fakhrulrazi juga mendakwa Hamzah melanggar Seksyen 15 Akta Polis 1967 yang melarang anggota polis untuk bersara atau mengundurkan diri semasa perang atau pengisytiharan darurat berkuatkuasa, kecuali jika disyorkan oleh ketua polis negara.

Ketika surat pelantikan itu diserahkan kepada Acryl semalam, tidak ada ordinan darurat yang diwartakan untuk menggantung atau membatalkan Seksyen 15 Akta Polis 1967. Namun, ordinan darurat boleh memiliki kesan retrospektif.

 

Post a Comment

0 Comments