SEORANG bekas Menteri, Zaid Ibrahim menggesa pihak berkuasa mendedahkan hasil siasatan beberapa ‘rakaman rahsia’ yang sebelum ini didakwa melibatkan ahli politik terkemuka.
Ia tegasnya wajar didedahkan demi kepentingan awam.
“Ada pita rakaman seks didakwa melibatkan seorang menteri kanan dan rakaman (komplot melibatkan rasuah) ‘scheme of things’, dan kini kita dengar pula mengenai panggilan telefon antara presiden Umno dan KEADILAN.” katanya.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) berkata begitu susulan penularan satu rakaman audio berdurasi 4 minit yang mirip suaranya dan seorang Individu lain bersuara mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid Hamidi.
Kedua-dua mereka semalam menafikan keterlibatan dalam perbualan itu dan menegaskan rakaman berkenaan adalah palsu.
Difahamkan gesaan Zaid berhubung 'rakaman rahsia' sebelum ini adalah klip video perbuatan homoseksual yang tular pada 2019.
Selepas penularan klip video itu, bekas Ketua AMK Santubong Haziq Aziz tampil mendakwa beliau terlibat dengan perbuatan homoseksual bersama menteri kanan Azmin Ali.
Azmin menafikan dakwaan berkenaan.
Manakala klip “scheme of things” pula membabitkan rakaman audio yang didakwa dirakam dalam mesyuarat majlis tertinggi Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) sebelum kemelut politik yang melanda negara ini pada Februari tahun lalu.
Dalam klip video berkenaan seorang lelaki didengari mencadangkan supaya Bersatu berganding bahu dengan Umno untuk membentuk parti politik Melayu terbesar negara.
Cadangan itu datang dengan tawaran kedudukan di syarikat berkaitan kerajaan sebagai insentif.
“Semua rakaman ini perlu dilihat dari pelbagai sudut. Adakah rakaman berkenaan sahih? Adakah wujud kes mengintip dengar menerusi talian telefon? Adakah rakaman berkenaan menunjukkan jenayah sedang dilakukan?
“Jika ia berita palsu, apakah tindakan yang diambil terhadap laman web yang menerbitkan dakwaan seperti itu?” kata Zaid dipetik laporan FMT.
![]() |
Zaid gesa dedah hasil siasatan |
“Kesimpulannya, institusi tidak boleh dilihat bermain politik, kerana perlu bertindak tanpa rasa gentar atau pilih kasih.
“Jika tidak, tiada sesiapapun akan melabur di sini. Individu dan perniagaan mesti mempunyai keyakinan terhadap institusi kita dan yakin ianya tidak disalahgunakan.” tambahnya lagi.
0 Comments