Kartel tender bukti rasuah dah terlalu teruk, tegas Patriot

 


PERSATUAN  Patriot Kebangsaan (Patriot) melahirkan rasa terkejut dengan kewujudan sindiket kartel projek yang didakwa telah memonopoli tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara.

Presidennya, Datuk Mohd Arshad Raji berkata, penahanan tujuh individu berhubung sindiket kartel projek yang dipercayai  beroperasi sejak tahun 2014 hingga sekarang itu menunjukkan keadaan korupsi dalam negara yang teruk dan telah bertapak di hampir setiap kementerian.

“Ini adalah pendedahan mengejutkan buat negara. Pasti ada yang salah dengan pentadbiran serta pemberian tender kerajaan.

“Ini juga menunjukkan rasuah dalam negara kita terlalu teruk.

“Kami percaya rasuah dalam kalangan penjawat awam tidak dapat dikekang susulan kurangnya keberanian dan kehendak di kalangan atasan pegawai kementerian, ketua jabatan dan agensi yang mungkin korup, " kata Arshad dalam kenyataan hari ini.

Awal minggu ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan, pihaknya telah melumpuhkan kegiatan kartel tender kerajaan.

Sindiket diketuai individu berusia 47 tahunitu dipercayai menggunakan lebih 150 syarikat untuk memohon tender kementerian serta agensi kerajaan dan memonopoli 354 tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan termasuk projek bernilai RM3.8 bilion.

Pada masa sama, sindiket ini dipercayai mendapat kerjasama ‘orang dalam’ untuk memastikan syarikat-syarikat di bawah ‘kawalannya’ dibenarkan masuk tender atau sebut harga dan memastikan salah satu daripadanya berjaya.

Beliau turut hairan sekiranya pegawai kanan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan tidak sedar akan berlakunya amalan rasuah itu.

“Patriot memuji SPRM kerana menangkap pemimpin kartel projek itu. Sesuatu yang tidak betul telah berlaku dalam pentadbiran awam dan pengurusan tender projek.

“Setiap orang yang terlibat sebagai rakan konspirasi dan rakan sekerja juga mesti dibawa ke pengadilan.," tambah Mohd Arshad.

Melalui kenyataan itu juga, beliau menggesa agar Ketua Setiausaha Negara dan semua Ketua Setiausaha Kementerian dalam kerajaan untuk segera mengkaji semula tadbir urus pemberian tender projek

Beliau berkata, kerajaan perlu menggunakan prosedur semak dan imbang untuk memastikan amalan rasuah yang merosakkan dalam pentadbiran awam dapat dicegah.

 Siasatan menyeluruh perlu diadakan
“Perlu ada siasatan menyeluruh berhubung perkara serius ini. Setiap seorang yang terlibat perlu disiasat. Malah ada suspek yang mempunyai gelaran sebelum nama.

“Sekiranya kita sudah selesai mengekang amalan rasuah termasuk menahan pemimpin tinggi serta ahli politik terlibat, barulah negara dapat membangun,” jelasnya lagi.


Post a Comment

0 Comments