Xavier umum sokong PN lepas media lapor siasatan SPRM


AHLI PARLIMEN Kuala Langat, Xavier Jayakumar mengumumkan keluar KEADILAN berkuat kuasa serta merta hari ini.

Pengumuman itu dibuatnya melalui satu kenyataan pagi tadi di laman sosialnya dengan berkata, dia kini Ahli Parlimen bebas yang akan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Langkah itu menyusul tindakan dua ahli parlimen KEDILAN, Larry Sng (Julau) dan Steven Choong (Tebrau) meninggalkan parti itu pada penghujung Feb lalu.

Sebagai rekod, Xavier terpilih sebagai Naib Presiden semasa pemilihan KEADILAN dengan menyokong kem timbalannya ketika itu, Mohammed Azmin Ali yang berpaling tadah dalam 'Langkah Sheraton' tahun lalu.

Semasa Pakatan Harapan (HARAPAN) mentadbir negara, Xavier dilantik menganggotai kabinet sebagai menteri air, tanah dan sumber asli.
 
Alasan diberi Xavier susulan pengumuman itu dilihat mirip Larry dan Choong. Dia berkata keutamaan sekarang adalah untuk menyokong usaha kerajaan.

"Orang ramai mahukan kestabilan dan memulakan semula sektor ekonomi kita yang sakit. Ke arah ini, kita perlu bekerjasama, bukan saling menentang," katanya.

Sebagai rekod, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada bulan lalu dilaporkan telah menahan pemimpin KEADILAN negeri yang pernah menjadi pegawai tugas-tugas khas kepada Xavier.

Ia berhubung dakwan rasuah melibatkan jutaan ringgit dalam projek pasir yang didakwa melibatkan kementerian itu semasa pentadbiran HARAPAN.

Portal MalaysiaNow yang pro kepada PN dalam laporannya pada 16 Febuari lalu berkata, SPRM turut merampas RM1.2 juta daripada sebuah rumah dan pejabat individu itu dan bank akaun milik individu dan syarikat dengan wang berjumlah RM77 juta dibekukan.

Portal itu yang memetik sumber berkata, kereta mewah yang dirampas digunakan Xavier sebagai kereta rasminya semasa menjadi menteri.

  Xavier umum sokong kerajaan PN
Laporan portal sama pada 24 Febuari pula menyebut SPRM menyiasat Xavier dan Timbalan Pengerusi KEADILAN Perak MA Thinagaran berhubung dakwaan itu.


BACA: Saifuddin dedah usaha ‘tarik’ Ahli Parlimen KEADILAN

BACA:
Saya tak minat sokong Muhyiddin - Natrah

Sebagai rekod, KEADILAN sebelum ini mengecam apa yang didakwa mereka usaha menarik sokongan Ahli Parlimen bagi melemahkan parti itu melalui tawaran dan ugutan.


Sementara itu, tinjauan di laman sosial Xavier mendapati rakyat terutama pengundi di kawasannya mengkritik dan mengecam keputusan dibuatnya.


Post a Comment

0 Comments