Saifuddin dedah usaha ‘tarik’ Ahli Parlimen KEADILAN

 


PARTI Keadilan Rakyat (KEADILAN) mendedahkan wujud langkah-langkah terancang untuk melemahkan kekuatan wakil rakyat terutama ahli-ahli parlimen pembangkang termasuk dari kalangan parti itu.

Setiausaha Agung KEADILAN Saifuddin Nasution Ismail mengecam tindakan terdesak mengugut atau memberi habuan supaya Ahli Parlimennya keluar parti untuk menjadi wakil bebas atau menyokong Perikatan Nasional (PN).

"Ini sedang dilakukan dengan pendekatan ugutan dan umpan habuan samada berkait isu cukai pendapatan, siasatan polis dan SPRM atau melalui tawaran projek dan jawatan dalam GLC," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Saifuddin tidak menjelaskan secara terperinci 'pihak tertentu' yang didakwanya itu.

Langkah itu jelasnya berlaku tatkala kerajaan sedia ada sudah hilang sokongan majoriti di parlimen dan dalam keadaan sidang parlimen boleh diadakan sewaktu darurat berkuatkuasa.

"Pada masa yang sama, jelas di mata ramai bahawa kerajaan kini sudah tidak mampu menyelesaikan pelbagai masalah rakyat, sama ada berkait pendidikan, pekerjaan, mahupun kesihatan awam," dakwanya lagi.

Sebagai rekod, Muhyiddin sebelum ini didakwa telah hilang majoriti sokongan dalam Dewan Rakyat apabila Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub dan Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz telah secara terbuka mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan PN.

Ketika pentadbiran Muhyiddin dilihat cuba mengelak dari mengadakan sidang Parlimen, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah pada 24 Feb bertitah parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa.

Hari ini, media melaporkan khabar angin bahawa 2 Ahli Parlimen dari KEADILAN bakal keluar parti itu untuk menyertai gabungan kerajaan.

Sumber berkata, dua Ahli Parlimen itu, masing-masing seorang dari Semenanjung dan Malaysia Timur dijangka menyertai parti mesra Perikatan Nasional (PN).

 KEADILAN kecam usaha lemahkan HARAPAN
"Ahli-ahli parlimen KEADILAN harus berpegang teguh kepada prinsip perjuangan dan semangat reformasi, serta sentiasa beringat bahawa rakyat menilai setiap tindakan kita dan siap membalasnya pada Pilihanraya Umum ke-15 kelak," tambah Saifuddin ketika mengulas khabar angin itu.

Post a Comment

0 Comments