Zafrul perlu letak diri dalam 'pergelutan ekonomi' anak muda - AMK


KETUA
Pemuda KEADILAN (AMK) Akmal Nasir membidas Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz yang disifatkannya hanya menuding jari kepada golongan muda.

Ia susulan kenyataan Zafrul bahawa generasi milenial berbelanja lebih daripada kemampuan.

Menurut Akmal kenyataan itu memberi gambaran kerajaan gagal mengenal pasti faktor struktur dan sosial dan pada masa sama seolah-olah mengabaikan isu-isu pokok seperti gaji rendah

"Isu ini tidak wajar dipukul rata seolah-olah orang muda hari ini tidak tahu dan tidak bertanggungjawab dari segi pengurusan kewangan mereka tanpa terlebih dahulu meneliti aspek lain yang menyumbang kepada perkara ini.

"Menteri Kewangan perlu mempunyai sikap empati dalam perkara ini dan meletakkan diri di tempat orang muda yang sedang bergelut dalam situasi dimana kurangnya peluang pekerjaan, tiada jaminan pekerjaan, kos sara hidup yang tinggi, perlu melakukan lebih dari dua kerja dan terpaksa berhadapan dengan bayaran gaji yang tidak berpadanan dengan tanggungan mereka," katanya.

Akmal yang juga adalah Ahli Parlimen Johor Bahru sementara itu menegaskan bahawa gaji rendah dan tidak stabil antara masalah utama dihadapi golongan muda hari ini.

Beliau menyorot tinjauan firma Mercer pada 2019 yang mendapati kenaikan gaji di Malaysia berada di belakang negara serantau lain.

"Tidak wajarlah Menteri Kewangan menegur orang muda mengenai pengurusan kewangan dengan pendapatan beliau yang jauh berbeza dengan orang biasa.

"Beliau sepatutnya fokus mencari jalan penyelesaian bagi permasalahan mengakar yang kian membimbangkan ini terutamanya untuk meningkatkan pendapatan rakyat," jelasa Akmal lagi.

Zafrul dipetik laporan sebelum ini mengatakan bahawa Bank Negara Malaysia mendapati bahawa 47 peratus belia mempunyai hutang kad kredit yang tinggi, dan menggesa para belia untuk simpanan dan berbelanja mengikut keutamaan.

 Zafrul seharusnya fokus cari penyelesaiaan
Walau bagaimanapun, Bank Negara sebelum ini mendapati bahawa pekerja di Malaysia tidak mendapat gaji yang mencukupi untuk pekerjaan mereka berbanding negara seperti Singapura dan Australia.
 
Bank Negara pernah menggesa pembaharuan termasuk mewujudkan pekerjaan yang berkemahiran tinggi di negara ini untuk memastikan pekerja Malaysia mendapat gaji yang setara.

Post a Comment

0 Comments