TINDAKAN kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dilihat semakin giat mencari sokongan Ahli-Ahli Parlimen untuk menyokong mereka memberi gambaran bahawa Muhyiddin Yassin tidak berhasrat membubarkan Parlimen dalam masa terdekat, kata Khalid Samad.
Dipetik laporan media, Khalid yang merupakan Ketua Penerangan parti Amanah yang dipetik laporan FMT berkata, sekiranya Parlimen akan dibubarkan dalam tempoh beberapa bulan lagi, tidak logik bagi kerajaan PN terutama Bersatu untuk terus berusaha mencari sokongan memandangkan kedudukan Ahli Parlimen akan terlucut sendiri apabila Parlimen dibubarkan.
“Jika benar beliau (Muhyiddin) mahu bubarkan Parlimen dalam masa beberapa bulan lagi, kenapa susah payah menarik Ahli Parlimen dari blok pembangkang untuk sertai Perikatan Nasional, khususnya PPBM?
“Kenapa hendak tambah majoriti di Dewan Rakyat, seperti yang dikatakan berlaku terhadap Ahli Parlimen Sekijang?
“Perkara (lompat parti) ini tidak akan berlaku begitu sahaja, sama ada dipujuk atau dipaksa. Ini bukan usaha yang sedikit, mungkin ia juga menelan belanja tinggi.
“Kekalkanlah dengan jumlah Ahli Parlimen yang ada, kemudian selepas wabak Covid-19 selesai, bubarkanlah Parlimen,” kata Ahli Parlimen Shah Alam itu.
Beliau sebelumnya merujuk perkembangan semasa yang menyaksikan beberapa Ahli Parlimen pembangkang secara tiba-tiba membuat pengumuman menyokong kerajaan PN diterajui Muhyiddin.
Juga dakwaan beberapa Ahli Parlimen termasuk Natrah Ismail (Sikijang) bahawa ada individu cuba memujuknya memberi sokongan kepada Muhyiddin.
Sementara itu, Khalid percaya Muhyiddin mahu meneruskan pentadbiran sehingga tempoh penggalnya tamat secara wajib, iaitu pada 2023, sebelum pilihan raya umum ke-15 dilaksanakan.
![]() |
Khalid turut kritik tindakan khianat HARAPAN |
Dalam laporan sama, Khalid turut mengkritik tindakan wakil rakyat yang meninggalkan Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi menyokong PN.
Tegasnya tindakan itu bukan sahaja akan membunuh karier politik mereka, malah akan menyebabkan mereka dibenci rakyat.
“Sudah-sudahlah khianati HARAPAN, rakyat juga kutuk, kamu tidak ada lagi tempat dalam masyarakat.
"Jika kamu lompat parti dan kemudiannya Parlimen dibubarkan, kamu mahu pergi ke mana? Kamu sendiri akan terkapai-kapai," tegasnya.