Denda RM10,000 cerminan sikap autokratik kerajaan - Anwar

 

PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik tindakan mengenakan kompaun RM10,000  kepada mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu berkata, tindakan itu hanya mencerminkan sikap kerajaan yang cenderung bersikap autokratik.

Kadar denda terlalu tinggi itu tambahnya adalah keterlaluan dan tidak munasabah.

"Kadar denda yang tidak munasabah itu menyerlahkan kecenderungan yang autokratik kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak merampas kuasa tahun lalu melalui rencana yang jelek dan hina.

"Ini juga bukti nyata bahawa kerajaan ini mengamalkan sikap antara dua darjat dalam menguatkuasakan peraturan tatkala rakyat terus dimangsakan secara berterusan,"  tegasnya.

Semalam Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata sebanyak 330 notis kompaun RM10,000 dikeluarkan kepada individu yang melanggar SOP PKP di seluruh negara setakat ini.

Kerajaan menaikkan kompaun berkenaan daripada RM1,000 kepada RM10,000 berikutan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan mulai 11 Mac.

 Kadar denda RM10,000 tak munasabah
Sementara itu tambah Anwar, kerajaan sepatutnya lebih peka dengan kepayahan rakyat ketika ramai di kalangan mereka telah kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan.

"Pernahkah kerajaan ini fikirkan apakah rakyat mampu untuk membayar denda sejumlah RM10,000 sekiranya RM1,000 itu pun mereka tidak mampu?" soalnya melalui kenyataan tersebut.


Post a Comment

0 Comments