SEKUMPULAN anak muda mengadakan himpun secara aman bagi membantah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 di hadapan bangunan Parlimen semalam.
Mereka yang mewakili gabungan organisasi masyarakat sivil yang memfokuskan kepada kebebasan bersuara mendesak supaya isu-isu kritikal termasuk wabak Covid-19 dan proklamasi darurat ditangani dengan fakta dan bukan Akta.
Jurucakap kumpulan itu, Watshlah Naidu dan Jac SM Kee bergilir-gilir membacakan tuntutan kumpulan berkenaan, termasuk menggesa supaya sidang parlimen segera diadakan.
Dipetik laporan Malaysiakini, Kee berkata tafsiran peruntukan di bawah ordinan itu bagi mengekang penyebaran atau maklumat palsu mengenai Covid-19 dan pengisytiharan darurat adalah terlalu luas.
"Ini boleh digunakan oleh pihak eksekutif untuk membungkam segala bentuk ucapan," kata aktivis hak digital itu.
Watshlah pula mempersoalkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan sebelum ini berkata Ordinan Darurat dan ordinan yang berkaitan akan dimansuhkan pada sidang parlimen berikutnya setelah darurat ditarik balik atau berakhir setelah enam bulan daripada tarikh tamat darurat.
Kata Watshlah, tiada kepastian bilakah darurat akan ditarik balik.
“Apa kita lihat adalah rekod-rekod janji yang tidak ditepati sejak setahun lalu.
"Walaupun kerajaan kata ia akan tamat pada Ogos, kita tidak diberikan jaminan bahawa ia akan tamat," katanya dipetik.
Sebagai rekod, keputusan kerajaan memperkenal ordinan itu mendapat kritikan ramai, ia termasuk bekas menteri, badan hak asasi dan badan kewartawanan tempatan serta antarabangsa.
Ordinan baru itu memperuntukkan denda sehingga RM100,000 kepada individu yang dianggap menyebar 'berita palsu' mengikut tafsiran dibawah ordinan itu.
Sementara itu merujuk kes-kes yang sedang berlangsung yang dianggap menyekat hak rakyat terhadap kebebasan berekspresi dan maklumat Watshlah mempersoal rasional disebaalik penguatkuasaan terlalu banyak akta.
![]() |
Bimbang akan digunakan untuk bungkam suara rakyat |
"Sekiranya kerajaan hanya menggunakan akta-akta untuk membungkam rakyat, maklumat itu akan menjadi naratif sehala, jadi bagaimana kita boleh menentukan ketepatannya?" soalnya.
0 Comments