SEORANG pemimpin pembangkang membidas tindakan pihak berkuasa mengkompaun sekumpulan penduduk pedalaman di Sabah yang dikatakan keluar membeli bekalan makanan dan ubat-ubatan di pekan Tenom.
Datuk Mohd Azis Jamman yang merupakan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata, beliau terkejut dengan tindakan itu.
Tegasnya walaupun penduduk melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP), pihak berkuasa seharusnya perlu bersimpati dengan kesusahan mereka.
“Rakyat sebaik mungkin cuba mematuhi PKP…keadaan sudah cukup teruk kerana tidak ada bantuan makanan tetapi juga pergerakan mereka terkawal.
“Apa yang kerajaan mahu mereka lakukan?” katanya dalam kenyataan.
Media sebelum ini melaporkan hasrat sekumpulan penduduk keluar membeli bekalan makanan dan ubat-ubatan di pekan Tenom bukan saja tidak kesampaian malah mereka dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang selepas didapati melanggar SOP PKP.
Dalam kejadian 27 Jan lalu, lapan penduduk termasuk warga emas dari beberapa kampung ditahan dan dibawa ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Tenom untuk dikenakan kompaun.
Naik bas lebih penumpang
Mereka didakwa melakukan kesalahan apabila menaiki sebuah bas yang melebihi kapasiti 50% penumpang seperti ditetapkan kerajaan.
Media turut melaporkan, penduduk merasa terkilan dan sedih kerana kesalahan itu bukan disengajakan, lebih-lebih lagi jarak kampung mereka yang agak jauh dari pekan Tenom dan sukar berulang-alik semata-mata untuk membeli barang keperluan.
Dalam perkembangan berkaitan, pelbagai pihak kini tampil membela lapan penduduk yang dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang itu.
Selepas berita mengenainya tular di media sosial, naib presiden Warisan yang juga ADUN Melalap, Peter Anthony, tampil membayar kompaun penduduk terbabit dari Kampung Angalor.
“Atas nilai kemanusiaan, saya rasa terpanggil untuk membantu mereka membayar kompaun itu kerana saya memahami situasi dan keadaan penduduk kampung yang tinggal jauh dari kawasan pekan.
“Selain itu, ada antara mereka yang tidak mempunyai akses internet dan televisyen untuk mengikuti perkembangan semasa terutamanya yang berkaitan dengan SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata Peter dipetik laporan FMT.
Selain itu, mereka juga akan menerima bantuan makanan hasil sumbangan warganet yang disalurkan menerusi seorang pengguna Twitter yang memulakan kutipan dana secara dalam talian.
Kami bukan jalan-jalan
Seorang penduduk Irip Pang berkata, tujuan dia mengikuti perjalanan itu untuk membeli barang keperluan cucunya yang masih kecil dan berstatus orang kurang upaya (OKU).
Buriat Alipan berkata kompaun dikenakan terhadapnya sangat membebankan kerana dia orang susah.
“Bukan saya turun untuk jalan-jalan, saya mahu membeli (barang keperluan) untuk cucu saya, susu dengan lampin pakai buang, tiada yang menjaga dia (cucu) sebab ibu dia sudah meninggal dunia, suami saya pun sudah terlalu berusia dan tidak mampu keluar.
Seorang lagi penduduk Buriat Alipan berkata, dia terpaksa ke pekan pada hari itu kerana mahu membeli ubat kakinya yang sakit selain bekalan makanan.
![]() |
Penduduk dakwa mereka dalam keadaan terdesak |
“Kami orang kampung, orang susah, bukan kami sengaja melakukan kesalahan itu, bukan keluar untuk suka-suka,” katanya.
0 Comments