Isa Samad bersalah atas 9 pertuduhan rasuah


BEKAS pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad disabitkan bersalah atas semua sembilan pertuduhan rasuah berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap Isa tanpa keraguan munasabah ke atas tertuduh.

Isa bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun didakwa dengan sembilan pertuduhan menerima rasuah untuk dirinya sendiri wang bernilai RM3,090,000 daripada anggota Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel, melalui bekas setiausaha politik Dr Mahathir Mohamad, Muhammad Zahid Md Arip.

Sebagai rekod,  Zahid kini menjadi salah seorang pemimpin Bersatu dan dilantik menjadi senator selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan Feb tahun lalu.

Pada 16 Jun 2020 mahkamah mengarahkan Isa membela diri atas pertuduhan yang dikenakan ke atasnya selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie.

Isa didakwa menerima habuan tersebut sebagai imbuhan atas bantuannya meluluskan pembelian Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) ke atas Hotel Merdeka Palace & Suites berharga RM160 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Isa di Tingkat Level 49, Menara Felda, di Persiaran KLCC di antara 21 Jul 2014 dan 11 Dis 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16a(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan boleh dihukum mengikut seksyen 24 (1) akta yang sama.

 Mahkamah sabitkan kesalahan keatas Isa Samad
Isa yang dilantik mempengerusikan Felda ketika era pentadbiran Najib Razak kini berdepan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000 - bergantung mana yang lebih tinggi.


Hakim Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman penjara selama enam tahun dan denda RM15.45 juta  terhadap Isa.

 

 

Post a Comment

0 Comments