Mahkamah tolak petisyen calon BN



MAHKAMAH Pilihan Raya di Tawau, Sabah, membenarkan permohonan ADUN Kukusan, Rina Jainal untuk membatalkan petisyen pilihan raya oleh calon BN-Umno Chaya Sulaiman.

Sehubungan keputusan itu, Rina daripada Warisan kekal sebagai adun bagi kawasan itu yang dimenangani pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020 lalu.

Berdasarkan petisyen pilihan raya yang difailkan 19 Oktober tahun lalu, Chaya mendakwa rasuah merupakan sebab Rina berjaya memenangi kerusi Kukusan dengan majoriti hanya 10 undi pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah 2020.

Walau bagaimanapun, berdasarkan permohonan pembatalan bertarikh 16 Nov tahun lepas pula, Rina mendakwa petisyen piihan raya oleh Chaya gagal mengemukakan bukti mencukupi berhubung dakwaan rasuah itu.

Dipetik laporan Malaysiakini, peguam Rina, Raymond Guok mengesahkan hasil pendengaran dalam talian antara pihak-pihak dengan Mahkamah Pilihan Raya di Tawau dua hari lalu.

“Keputusan itu disampaikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi (dua hari lalu) dan diputuskan bahawa petisyen pilihan raya itu dibatalkan dengan kos,” katanya

Sementara itu dalam di laman Facebook, Rina meluahkan kesyukurannya dengan keputusan Mahkamah Pilihan Raya itu.

“Alhamdulillah kita menang. Keputusan undi pos memang sangat mengecewakan, namun undi awamlah yang mengangkat kita.

“Walaupun rekod antara majoriti terkecil, percaya pada rezeki, percaya kepada Ilahi. That’s how huge it is (Begitulah besarnya nilai undian),” katanya.

 Calon BN kalah 10 undi
Pada PRN Sabah 26 Sep tahun lalu, Rina memperoleh 2,834 undi, manakala Chaya dengan 2,824 undi.

Calon Parti Harapan Sabah Wong Jin Soon pula mendapat 796 undi di tempat ketiga dan kehilangan depositnya.
 

Post a Comment

0 Comments