Khalid kritik cara Muhyiddin, dakwa ada ciri-ciri diktator


CARA Ahli Parlimen Pagoh, Muhyiddin Yassin mentadbir negara mempunyai ciri-ciri diktator, dakwa Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Samad.

Dakwaan itu dibuat Khalid dalam dialog bertajuk “Muhyiddin seorang diktator?” yang disiarkan secara langsung di Facebook.

Menurutnya, satu daripada ciri itu ialah tiada lagi semak dan imbang, apabila Parlimen digantung susulan perisytiharan darurat.

“Istilah diktator kalau nak secara tepat ialah berhubung seseorang yang mempunyai kuasa mutlak.

“Apabila mempunyai kuasa mutlak, terpulang kepada dia untuk bertindak secara keras atau dilihat secara mesra macam ‘abah kau’,” katanya.

Sebagai rekod, Muhyiddin membahasakan dirinya sebagai “abah” bagi menarik sokongan rakyat terhadap kerajaan dikepalainya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memberi perkenan untuk darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos ini atau lebih awal. Ia disusuli pengumuman Muhyiddin sidang Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat sehingga tempoh kecemasan tamat.

Pengumuman Muhyiddin itu kemudian diselar banyak pihak terutama dari kalangan pemimpin pembangkang dan Umno yang berpandangan sidang parlimen penting bagi membahaskan isu berkaitan rakyat ketika negara berdepan pendemik Covid-19.

Sementara itu, Khalid turut membidas tindakan Muhyiddin memberi peruntukan membina tiga dewan di Johor ketika rakyat berdepan Covid-19 yang menurutnya mempamerkan satu lagi ciri diktator.

Berbeza dengan China, katanya, walaupun menggunakan sistem komunis, mereka membina hospital ketika Covid-19 melanda negara itu.

“Ini berlaku dalam isu dewan bernilai RM35 juta. Walaupun dikatakan untuk tiga dewan, tetapi dilakukan begitu singkat. Ramai berpandangan tidak mungkin dibuat secara tender terbuka.”

“Di Malaysia, dalam Covid-19, kita bina dewan dan tidak boleh pertikai.

“Semua dilakukan ikut suka mereka dan tidak boleh ada suara pertikai dalam Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.” jelasnya.

 Keputusan gantung Parlimen dikritik ramai


Pada 16 Jan lalu, Pejabat Perdana Menteri berkata, peruntukan RM35.43 juta diluluskan untuk membina tiga dewan orang ramai di Tangkak dan Muar, selepas sepucuk surat tular di media sosial.


Ia terdiri daripada Dewan Gersik di Tangkak yang bernilai RM13 juta, Dewan Masyarakat Bukit Pasir di Muar berharga RM16.66 juta dan Pusat Komuniti Bukit Kepong di Muar berjumlah RM5.77 juta.

Post a Comment

0 Comments