Tindakan gantung Parlimen cubaan halang suara rakyat- Anwar


TINDAKAN
Kerajaan Muhyiddin menggantung sidang Parlimen susulan pengisytiharan darurat adalah cubaan menghalang suara rakyat dibahaskan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu, meskipun darurat dilaksanakan, Parlimen seharusnya berjalan seiring dengan peruntukan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

"Kalau pun Darurat itu ditetapkan, masih mampu Parlimen itu berjalan seiring dan ada peruntukan dalam Perlembagaan, ini urusan Perlembagaan.

"Perlembagaan menetapkan Perkara 150 itu, Pengisytiharan Darurat 150 (3) membolehkan Parlimen berjalan seiring... menyegerakan beberapa langkah dikira perlu untuk keselamatan negara," katanya dalam sidang media secara dalam talian menerusi Facebook rasminya minggu ini.

Malah Anwar turut menyifatkan tindakan kerajaan menggantung sidang Dewan Rakyat kerana tidak berupaya mendengar hujah daripada setiap Ahli Parlimen.

"Ini kita usulkan mengapa dilarang sesi Parlimen? Ada mengatakan urusan lain boleh, kerana tidak ada keupayaan, kewibawaan pimpinan untuk mendengar, berhujah dan menjawab serta mengulas.

"Supaya mereka (kerajaan) mampu melakukan apa sahaja tanpa dipersoal, kerana kuasa darurat itu kuasa besar dan kuasa mutlak. Apa salahnya kuasa itu ada, tetapi diimbangi Parlimen supaya dapat dibahaskan.

Tambah Anwar lagi, jika Parlimen dapat bersidang ketika darurat, beliau menjangkakan apa sahaja proses dapat dipercepatkan terutama melibatkan kepentingan dan keselamatan rakyat.

 Parlimen perlu bersidang bahas isu rakyat
Anwar sebelum ini menegaskan bahawa pihaknya mahu mencabar soal penggantungan parlimen ke mahkamah, ia memastikan isu rakyat dapat dibahaskan, keterlanjuran kerajaan dan kelemahan dalam usaha menangani Covid-19 dapat diperbetul.

Keputusan Muhyiddin menggantung sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dikritik ramai. Ia dilihat sebagai cubaan kekal berkuasa setelah Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa telah hilang sokongan dari kalangan Ahli Parlimen.

Post a Comment

0 Comments