SITUASI banjir di Pahang, Terengganu dan Kelantan setakat pagi ini dilapor bertambah teruk.
Memetik laporan FMT, jumlah mangsa banjir di ketiga-tiga negeri itu dilapor meningkat dengan lebih 19,000 mangsa telah dipindahkan ke Pusat pemindahan Sementara (PPS).
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan daerah Maran di Pahang masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 4,501 orang diikuti Temerloh (3,020 keluarga), Lipis (2,551), Raub (2,402), Jerantut (2,329), Kuantan (2,321), Rompin (1,012), Pekan (430) dan Bera (410).
Setakat kini seramai 18,976 orang daripada 5,032 keluarga telah dipindahkan ke 241 pusat pemindahan.
Sungai Pahang di daerah Bera, Kuantan, Lipis, Jerantut, Temerloh dan Maran juga dilapor sudah melepasi tahap bahaya setakat 7 pagi tadi.
Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang turut melihat situasi banjir di sekitar Kuantan pagi tadi di dalam rakaman video di laman Facebooknya memaklumkan, kejadian banjir itu disebabkan hujan yang turun semalaman sehingga menyebabkan air sungai melimpah, ia diburukkan lagi dengan kejadian air pasang besar.
Beliau turut berharap penduduk Kuantan sentiasa berada dalam keadaan selamat.
Di Terengganu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Lt Kol (PA) Che Adam A. Rahman memaklumkan, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 267 orang setakat 8 pagi ini berbanding 117 orang pada 3 petang semalam berikutan pembukaan semula dua pusat pemindahan di Dungun yang menempatkan 156 mangsa.
![]() |
Ahli Parlimen Kuantan harap penduduk selamat |
Dalam perkembangan sama, keadaan banjir di Perak, Selangor dan Johor bertambah baik dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara semakin berkurangan.
Gua Musang yang sebelum ini turut terjejas dengan banjir telah pulih dengan kesemua pusat pemindahan di jajahan itu ditutup semalam.
0 Comments