PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memulakan tindakan undang-undang bagi mencabar perisytiharan darurat oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin.
Langkah itu menyusul gesaannya supaya agar ahli-ahli parlimen mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah merayu supaya darurat ditamatkan.
“Telah saya umumkan baru-baru ini tentang usaha kami dalam merayu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mempertahankan perlembagaan serta rakyat dari salah guna kuasa amat dasyat ini.
“Dan juga, pasukan peguam telah ditugaskan untuk menyiapkan permohonan mencabar langkah pengisytiharan darurat yang dibuat oleh kerajaan Muhyiddin (Yassin),” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Selasa lalu, Agong mengisytiharkan darurat susulan nasihat oleh Muhyiddin Yassin, perintah itu dikuatkuasakan sehingga 1 Ogos ini atau lebih awal, jika jumlah kes harian Covid-19 dapat dikawal dan dikurangkan dengan berkesan.
Manakala pada Rabu, Majlis Presiden HARAPAN menolak alasan Muhyiddin Yassin kononnya kuasa-kuasa darurat diperlukan untuk menyelamatkan Malaysia dari ancaman Covid-19.
BACA: Majlis Presiden tolak alasan Muhyiddin
Menurut mereka, selain undang-undang sedia ada, termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mencukupi untuk mengumpul segala sumber dan kekuatan bagi mengatasi wabak tersebut.
Sebahagian warganet melihat tindakan Muhyiddin itu alasan bagi mempertahan kuasa terutama ketika Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa sudah hilang majoriti di Dewan Rakyat.
Sementara itu Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan pada Khamis memberitahu bahawa dengan perisytiharan itu, tentera diberi kuasa menahan individu disyaki melakukan kesalahan, manakala pihak hospital swasta enggan memberikan kerjasama kepada kerajaan boleh dikenakan termasuk mengenakan denda sehingga RM5 juta.
Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial dalam satu laporan berkata, mereka bingung dengan keputusan itu, kerajaan Muhyiddin tegas mereka sepatutnya tidak perlu menggunakan peraturan darurat bagi mendapatkan kerjasama swasta dalam menangani Covid-19.
“Namun kemajuan dalam isu ini agat terbatas. Keputusan terbaru merupakan sesuatu yang mengejutkan kerana kerajaan nampaknya mahu menggunakan undang-undang darurat untuk mendapatkan sesuatu yang ditawarkan secara sukarela,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrul Mohd Khalib.
Sementara dalam kenyataan hari ini, Anwar sekali lagi menegaskan perisytiharan darurat secara semborono dan terdesak, tanpa asas rasional, menyebabkan wujud jurang antara rakyat dan kerajaan.
Beliau berkata, kepercayaan terhadap Muhyiddin semakin hilang setiap hari seperti yang ditunjukkan beberapa Ahli Parlimen menarik balik sokongan mereka terhadapnya.
“Bolehkah kepercayaan dirayu walaupun sudah jelas darurat ini tiada kaitan dengan memerangi pandemik berbanding berpaut kepada kuasa yang, kita perlu ingat, dicapai melalui kerajaan pintu belakang tidak sah?
“Adakah kita harus mempercayai kata-kata individu yang mengkhianati perdana menterinya, partinya (dan gabungannya), serta kepercayaan dan mandat rakyat?” soal Anwar.
Tambah Anwar, ketika ini rakyat memerlukan pentadbiran berkesan untuk terus bertahan ketika krisis.
![]() |
Rakyat mahu ketelusan, tegas Anwar |
“Bukan apa yang diberikan kerajaan minoriti ini. Bukan pengumuman yang dirancang secara tiba-tiba yang tidak memberikan sebarang kejelasan, tiada perancangan dan tiada simpati terhadap keperluan rakyat.” tegasnya.