Sabit kesalahan, Ku Nan berpontensi hilang hak bertanding


BEKAS
Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor dihukum penjara setahun dan denda RM2 juta setelah didapati bersalah menerima rasuah.

Keputusan itu dibacakan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan, menjatuhkan hukuman itu setelah mendengar hujah peguambela Tan Hock Chuan yang mewakili pemimpin Umno itu.

Mahkamah turut menolak alasan Tengku Adnan bahawa wang itu yang diterima daripada ahli perniagaan yang merupakan Penarah  Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) Chai Kin Kong, empat tahun lalu yang kononnya adalah sebahagian daripada dana untuk membiayai kempen Umno pada pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 2016.
 
Dalam penghakimannya Mohamed Zaini berkata mahkamah cenderung untuk mengikut kes sebelumnya dan memetik kes rasuah Dr Mohamad Khir yang dipenjara selama setahun.

"Tertuduh dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda sebanyak RM2 juta. Sekiranya gagal berbuat demikian, akan menjalani hukuman penjara enam bulan. Hukuman itu akan bermula dari tarikh penghakiman," kata hakim.

Mohamed Zaini berkata Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan bukan pegawai awam dan ahli politik pertama yang disabitkan dengan kesalahan.

"Semua orang sama di sisi undang-undang. Saya tidak menafikan beliau telah berkhidmat untuk negara ini selama bertahun-tahun tetapi hukuman itu mesti mencerminkan jenayah dan menjadi pengajaran kepada orang lain," katanya.

BACA:
Nasib Ku Nan ditentukan hari ini

Sementara itu, peguam A Srimurugan berkata, kerusi Ku Nan di Putrajaya hanya akan dikosongkan jika dia gagal mengemukakan notis rayuan dalam tempoh 14 hari dari hari ini.

“Artikel 48 (4) (b) perlembagaan jelas menyatakan tertuduh kekal sebagai Ahli Parlimen sehingga rayuannya selesai di Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Bagaimanapun, Srimurugan berkata tertuduh berisiko hilang peluang untuk bertanding dalam pilihan raya atau pilihan raya umum jika Mahkamah Rayuan tidak mendengar rayuannya.

 Ku Nan dijangka fail rayuan
“Ini kerana statusnya akan kekal sebagai orang yang disabitkan kesalahan kecuali Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi,” katanya.

Sementara itu media melaporkan bahawa Ku Nan enggan mengulas lanjut keputusan mahkamah itu dan terus berlalu menaiki kenderaannya sebaik keluar dari Mahkamah Tinggi

Post a Comment

0 Comments