Pulau Pinang tak gentar ugutan MB Kedah


KERAJAAN
Pulau Pinang bersedia menyelesaikan pertikaian berhubung isu air membabitkan Kerajaan Kedah di Mahkamah.  

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy berkata, mereka tidak perlu bimbang kerana undang-undang berpihak kepada negeri itu.

“Jika perkara itu dibawa ke mahkamah, kami akan lawan hingga akhir kerana kami mempunyai sebab munasabah mengapa kerajaan Pulau Pinang tidak perlu membayar kerana air (mentah) diambil dari bahagian sungai yang terletak dalam negeri kami.

“Dua perjanjian dua hala pada 1980-an yang didukung Perlembagaan Persekutuan akan memberikan penghujahan yang kukuh kepada kami untuk tidak membayar kepada Kedah,” katanya dalam kenyataan.

Ramasamy sebelumnya mengulas ugutan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang sebelum ini berkata, pihaknya mungkin perlu mengheret Pulau Pinang ke mahkamah jika negeri ditadbir DAP itu enggan membayar air mentah diambil dari sungai yang berasal dari negeri itu.

Beliau sementara itu merasakan tindakan Sanusi baru-baru ini seolah-olah menunjukkan beliau tergesa-gesa mahu menghukum Pulau Pinang, menyatakan pimpinan PAS mahu menentang kerajaan Pulau Pinang diketuai DAP.

“Seperti saya katakan sebelum ini, kami tiada sebarang masalah untuk membincangkan perkara melibatkan kepentingan awam, terutama dalam isu air (mentah), tetapi ia tidak boleh dilakukan melalui ugutan.

“Saya ingin mengulangi kami menyokong kerajaan Kedah menerima RM100 juta daripada kerajaan persekutuan untuk melindungi kawasan tadahan air di Ulu Muda dan untuk mengairi sawah padi,” katanya.

Isu mengenai caj air itu timbul setelah Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA)  menyuarakan rasa bimbang tentang masa depan kawasan tadahan air untuk sekitar 4.2 juta penduduk di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang di hutan simpan Ulu Muda.

Ia susulan cadangan kerajaan negeri dipimpin Sanusi untuk perlombongan elemen nadir bumi (REE).

Teguran PBA itu kemudian disusuli tuntutan caj oleh Muhammad Sanusi yang mendakwa air digunakan untuk penduduk Pulau Pinang berpunca dari Sungai Muda.

 Pulau Pinang tak gentar ugutan Sanusi
Sanusi dalam satu kenyataan secara berseloroh sebelum ini turut berkata, beliau akan meminta penduduk di sepanjang Sungai Muda meletakkan beg pasir untuk menghalang pembekalan air kepada Pulau Pinang sekiranya negeri itu enggan membayar.

BACA:
Warganet kurang senang dengan 'seloroh' MB Kedah

Bagaimanapun kenyataan Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah itu dikritik warganet di media sosial.

Post a Comment

0 Comments