Sekat sungai: Warganet kurang senang dengan 'seloroh' MB Kedah

 



KENYATAAN berseloroh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang mahu mengarahkan orang kampung menyekat air dari Sungai Muda di negeri itu dari terus mengalir ke Pulau Pinang dikritik warganet.

Tinjauan di laman Facebook Malaysiakini, yang menyiarkan laporan mengenai berita itu mendapati kebanyakan warganet kurang senang dengan 'gurauan' pemimpin Pas itu.

Balasubramaniam Ratnam melalui komennya mengingatkan bahawa sumber air adalah pemberian tuhan dan ia adalah bagi kegunaan semua orang.

"Air adalah pemberian tuhan utk kegunaan rakyat dlm kehidupan harian. Apa masalah MB Kedah ini. Kata orang PAS beragama tinggi. Pemberian tuhan pun nak sekat," tulisnya.

Seorang individu lain pula menyifatkan kenyataan dibuat orang nombor dua Pas kedah itu sebagai angkuh.

"Dah berkuasa la katakan.. walau seloroh pun... Angkuh ayatnya.. x per, silalah keluarkan kenyataan camni selalu," kata Hanim CK.

Muhammad Sanusi yang dipetik laporan Berita Perdana RTM semalam berkata, boleh meminta orang kampung menyekat air dari Sungai Muda di negeri itu sekiranya kerajaan Pulau Pinang masih enggan membayar caj air mentah terbabit.

“Besok kita alirkan Sungai Muda itu ke tempat lain, kalau orang kampung saya kata belat (sekat) sungai, alih sungai itu pi (ke) tempat lain, hampa (kerajaan negeri Pulau Pinang) nak sedut ayaq (air) di mana?

Rasa kurang senang dengan 'seloroh' Sanusi
“Haa boleh pi sampai tara (setakat) itu lah kalau mahu, saya kerah orang kampung suruh boh (letak) pasir dalam guni belat sungai di Pinang Tunggal.

“Lepas itu bila semua kering, hampa boleh pi mengaga (cari) ikan (darat) di Sungai Pulau Pinang,” katanya dipetik.

Sanusi sebelum ini menuntut Pulau Pinang membayar caj air mentah RM50 kepada kerajaan Kedah. Walau bagaimanapun, Ketua Menteri Chow Kon Yeow menegaskan bahawa permintaan itu tidak berasas.

Tegas Kon Yeow, Pulau Pinang berhak sepenuhnya menggunakan sumber air mentah yang di ambil daripada Sungai Muda di sebelah sempadan negeri Pulau Pinang selaras hak antarabangsa dalam menggunakan air sungai.

BACA:
RM50 juta: tuntutan MB Kedah tidak berasas
 
Isu caj itu ditimbulkan Muhammad Sanusi selepas dikritik Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berhubung cadangannya untuk meneroka nadir bumi berskala besar di Ulu Muda yang akan menjejaskan sumber air mentah untuk Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Pemimpin kena jaga tingkah laku


Sementara itu, warganet yang menggunakan nama samaran Braderz Chunz berharap pemimpin negeri sentiasa menjaga tingkah laku mereka kerana diperhati rakyat.

Sebahagian komen warganet
"Bila ada nama pangkat dan kerjaya mula lah nak berdendam dan mula lah nak timbul sesuatu yg tak di senangi....apa salah pakat bincang elok2. Kita ni di perhatikan setiap tutur kata perangai n sifat," katanya.
 
"Pulau Pinang pun ada orang Melayu Menteri oi. Jagan dok jadi gila...kalau dekat (sekat) sungai tu satu Kedah akan banjir," kata Otai saad pula.

Susulan 'seloroh" Muhammad Sanusi itu, KM Chua turut berseloroh dalam komennya dengan menggesa rakyat kedah tidak lagi melintasi Pulau Pinang untuk ke negeri lain.

"Orang yang nak masuk kedah lain kali jgn lalu Pulau Pinang...boleh masuk pakai gerik terus ke kulim aje...kalo tak masuk betong keluar Bukit Kayu Hitam," tulisnya.

Muhamad Zaid Saad melalui ruangan komen sementara itu menyifatkan Muhammad Sanusi sebagai seorang Menteri Besar yang pelik.

"MB yg paling pelik dari mana2 MB kat Malaysia. Air adalah milik Allah patut berkongsi nikmat yg berikan olehNya," tulis warganet itu.



Post a Comment

0 Comments