PN mesti tunjuk kesungguhan jaga kepentingan Muslim

 


TIMBALAN Presiden Amanah Salahuddin Ayub mengkritik sikap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Dr Zulkifli Mohamad berhubung isu sindiket penipuan daging halal yang dibongkar pihak berkuasa baru-baru ini.

Menyifatkan Senator itu masih 'menikus' dalam isu membabitkan itu, Salahuddin berkata, isu itu perlu dijelaskan kerana kementerian diketuai Zulkifli mesti memberi penjelasan memuaskan berkenaan isu berkaitan sijil halal.

"Kebobrokan ini harus dijawab oleh Menteri di JPM yang masih menikus daripada memberikan penjelasan berhubungan penyalahgunaan kuasa di peringkat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Salahuddin berkata Jakim yang berada dalam bidang kuasa Zulkifli merupakan agensi bertanggungjawab menguruskan status halal haram makanan di negara ini.

Kewujudan sindiket terbabit kata bekas menteri pertanian itu jelas menimbulkan keraguan mengenai tahap integriti agensi terbabit dalam pembangunan industri halal negara.

Pada bulan lalu parlimen diberitahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sedang menyiasat kes kartel berkenaan yang berlaku di Senai, Johor.

Media juga sebelum ini melaporkan pegawai dalam agensi kerajaan dikatakan menerima pelbagai jenis habuan kerana bersekongkol dengan kartel yang mengimport daging - antaranya kangaru dan kuda yang tidak berstatus halal - untuk dijual sebagai daging halal.
 
Sementara itu,  Ahli parlimen Pulai itu menegaskan bahawa  kerajaan perlu mengambil serius kes keselamatan makanan dengan memperhalusi, memantau dan menilai garis panduan kemasukan makanan untuk memastikan setiap produk berkaitan yang dipasarkan selamat.

 K'jaan mesti beri penjelasan memuaskan
"Kerajaan Perikatan Nasional yang didominasi parti Melayu Islam mesti menunjukkan kesungguhan mereka menjaga kebajikan dan kepentingan Muslim.

"Janganlah biarkan slogan Melayu Islam hanya tinggal sebagai retorik untuk memperdaya masyakarat dan meraih undi menjelang pilihan raya," katanya sambil mendesak pihak berkuasa menyiasat sedalam-dalamnya kegiatan itu.

Post a Comment

0 Comments