Anwar puji kewajaran ditunjukkan Abdul Hamid Bador

 


PENGERUSI Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi pujian terhadap sikap ditunjukkan Ketua Polis Negara, Tan Seri Abdul Hamid Bador.

Mengulas tindakan Abdul Hamid dalam isu berkaitan tindakan polis memanggil bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng  bagi keterangan sehari sebelum sambutan krismas sebelum ini, Anwar berkata, Abdul Hamid telah menyelamatkan imej polis dari persepsi negatif daripada masyarakat.

"Tindakan Abdul Hamid meminta maaf kepada Lim atas kesilapan pegawainya juga mencerminkan kepemimpinan polis yang peka terhadap pendapat dan perhatian orang ramai," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Lim pada awalnya dimaklumkan peguamnya, Gobind Singh Deo bahawa polis mahu menyoal siasatnya hari ini. Dipercayai ia berhubung dua kenyataan yang dibuat pada 2019.
 
Bagaimanapun pemilihan masa yang dibuat polis itu - disindir sebagai hadiah sempena Krismas - dirasakan kurang wajar dan dianggap tekanan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ke atas pembangkang.

Tindakan pihak polis itu juga dikritik bekas Perdana Menteri, Najib Razak yang berkata polis harus menggunakan pertimbangan wajar dan tidak memanggil bekas menteri kewangan itu untuk disoal siasat sehari sebelum beliau menyambut Krismas.

Bagaimanapun semalam polis memberitahu mereka menjadualkan semula pertemuan dengan Lim kepada tahun depan hasil campur tangan Abdul Hamid.

Peguam Lim, Gobind Singh Deo berkata Abdul Hamid menghantar pesanan teks kepadanya dengan meminta maaf atas kekhilafan pegawainya.

Sementara itu tegas Anwar, pihaknya bukan meminta Lim diberikan layanan istimewa sebaliknya menuntut agar kedaulatan undang-undang dilaksanakan secara wajar.

"Tidak ada alasan yang masuk akal untuk menyeret Lim untuk disoal siasat selama berjam-jam pada malam Krismas ketika perayaan itu akan diraikannya.

"Banyak yang perlu dilakukan lagi untuk mengembalikan keyakinan awam ke atas pihak berkuasa negara," katanya.

Tindakan Abdul Hamid tunjuk keperihatinan
Tambah Anwar tindakan yang ditunjukkan Abdul Hamid itu merupakan langkah awal yang baik untuk mengukuhkan kepercayaan orang ramai kepada polis.

"Saya memuji Ketua Polis Negara atas campur tangannya menjadualkan semula sesi soal siasat ke atas Lim," katanya dipetik.

Post a Comment

0 Comments