PENGERUSI Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sarawak, Larry Sng dilapor telah meletak jawatan.
Walau bagaimanapun, peletakan jawatan Ahli Parlimen Julau itu dapat dianggap sebagai pengorbanan besar bagi memastikan kelangsungan parti itu di Sarawak.
Larry yang dipetik laporan media berkata, KEADILAN Sarawak wajar diketuai pemimpin Dayak terutama bagi menghadapi pilihan raya negeri ke-12.
"Setelah membuat pertimbangan mendalam, demi kepentingan terbaik KEADILAN Sarawak, saya memutuskan bahawa parti ini mesti dipimpin oleh pemimpin Dayak dalam berdepan pilihan raya negeri (PRN) Sarawak.
“Majoriti penduduk Sarawak adalah orang Dayak yang mewakili 43 peratus penduduk manakala orang Melayu dan Cina hanya pada 24 peratus sahaja.
"Namun, kami mendapati bahawa kawasan termiskin dan paling mundur di Sarawak terletak di kawasan pedalaman Dayak," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Tambahnya, beliau percaya dengan perubahan kepimpinan di peringkat negeri itu akan diterima baik.
Susulan itu beliau akan membincangkan perkara itu dengan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan peralihan yang lancar dalam pemilihan penggantinya.
"Walaupun saya terpilih di kerusi parlimen yang didominasi Dayak yang dan mempunyai pengalaman dalam pentadbiran negeri, saya yakin parti itu akan dapat mencari pengganti yang baik." tambahnya.
Sementara itu, Larry turut mengecam tindakan segelintir bekas Ahli Parlimen parti itu yang berpaling tadah dengan meninggalkan parti itu dengan berkata bahawa jika mereka tetap setia, Pakatan Harapan (HARAPAN) masih akan menjadi kerajaan persekutuan.
"Kita seharusnya tidak menganggap pembelotan bekas anggota parlimen kita dari Puncak Borneo, Saratok, Lubok Antu dan Selangau sebagai krisis kepimpinan Dayak di KEADILAN Sarawak.
![]() |
Larry turut selar golongan 'pengkhianat' |
"Dosa segelintir orang tidak boleh terpikul di bahu banyak pihak, dan saya yakin rakyat akan memilih KEADILAN semula untuk mewakili mereka di kawasan-kawasan yang telah kita kecundang," tambahnya.
0 Comments