'Grand Coalition' kita perlu belajar dari sejarah - Ahmad Syukri

 

IDEA kewujudan ‘Grand Coalition’ atau gabungan besar pembangkang yang cuba ditimbulkan kebelakangan ini dianggap sebagai idea yang pramatang.
 
Setiausaha Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Ahmad Syukri Che Ab Razak berkata,strategi penggabungan antara parti-parti politik bagi membentuk gabungan yang kuat sebenarnya sudah lama diamalkan dalam politik negara.

Jelasnya, pihak memahami objektif gabungan itu yang membabitkan kesatuan pembangkang membentuk pertembungan dwi blok yang membuka peluang lebih besar untuk pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.

"Walaupun formula idea ini berpotensi menjamin kemenangan dalam PRU,namun perbincangan ini tidak akan berkembang jika ia hanya berfokus kepada kuantiti dan jumlah ahli dalam parti.

“Mungkin apa yang mereka mahukan ialah Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) membentuk gabungan baharu dengan parti lain seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia) dan lain-lain.

“Alasan mereka cukup idealis iaitu dengan gabungan yang besar dan ramai, pembangkang akan lebih kuat menghadapi Pilihan Raya Umum yang akan datang," katanya dipetik laporan Sinar.

Bagaimanapun menurut Ahmad Syukri, adalah amat pra-matang jika perbincangan mengenai ‘Grand Coalition’ itu hanya berlegar di sekitar saiz atau nombor.

Nilai sejarah

Beliau menegaskan supaya menilai sejarah perjuangan politik pembangkang yang lepas sebagai peringatan.

“Kita wajar belajar sejarah perjuangan panjang politik pembangkang di Malaysia. Bagaimana persefahaman yang rapuh akhirnya menyebabkan kesatuan pembangkang hancur.

 Syukri ajak renung sejarah 22 bulan jadi k'jaan
“Tidak perlu pergi terlalu jauh, lihat saja sikap kepimpinan HARAPAN sewaktu menjadi kerajaan selama 22 bulan.

“Tanpa segan silu ada yang menyebut ‘manifesto bukan kitab suci’ yang menyebabkan rakyat meremehkan keseriusan HARAPAN dalam menunaikan janji,” jelasnya.

Terdahulu, Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya dan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyarankan supaya parti pembangkang membentuk gabungan besar iaitu ‘Grand Coalition yang menurutnya penting untuk menghadapi PRU yang mungkin diadakan pada bila-bila masa.

Sudah ada gabungan besar

Sebagai rekod, pembangkang telah mewujudkan 'Grand Coalition' dengan penyertaan KEADILAN, DAP dan Amanah dan gabungan dikenali sebagai Pakatan Harapan itu telah dikenali rakyat negara ini.

Ia dipimpin tokoh reformasi, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Ketua Pemuda gabungan itu, Raymond Ahuar sebelum ini menegaskan, penubuhan satu lagi gabungan baru akan mengelirukan rakyat.

BACA: 
'plus' pada PH kelirukan rakyat


Justeru tegasnya pemimpin politik atau parti lain yang ikhlas mahu menguatkan gabungan pembangkang tegasnya wajar menyertai gabungan sedia ada dan bukan mewujudkan gabungan lain.

Post a Comment

0 Comments